Adakah terdapat cara untuk mencegah pembulian di tempat kerja?

Latar belakang

Pembulian di tempat kerja boleh mengurangkan kesihatan mental orang yang bekerja. Ia juga boleh membahayakan organisasi pekerja. Terdapat banyak kajian tentang pembulian di tempat kerja. Walau bagaimanapun, kebanyakan kajian hanya mengkaji cara menguruskan pembulian sebaik sahaja ia berlaku, dan bukannya cuba menghentikannya daripada berlaku. Ramai orang yang telah dibuli memilih untuk meninggalkan pekerjaan mereka daripada berhadapan dengan pembuli. Adalah penting untuk mengetahui sama ada tindakan yang diambil ditempat kerja untuk mencegah pembulian adalah berkesan.

Soalan ulasan kami

Apakah faedah cara yang berbeza untuk cuba mencegah pembulian di tempat kerja?

Apa yang ditunjukkan oleh kajian

Kami menyertakan lima kajian yang dijalankan dengan 4116 peserta yang menilai menjadi mangsa pembulian atau menjadi pembuli dan akibat pembulian seperti ketidakhadiran. Kami mengelaskan dua intervensi sebagai peringkat organisasi, dua sebagai peringkat individu dan satu sebagai pelbagai peringkat. Tiada kajian tentang intervensi yang dijalankan di peringkat masyarakat/dasar polisi.

Intervensi peringkat organisasi

Dua kajian mendapati bahawa intervensi organisasi meningkatkan kesopanan, bertentangan dengan pembulian, sebanyak kira-kira lima peratus. Salah satu kajian ini juga menunjukkan pengurangan ketidaksopanan rakan sekerja dan penyelia. Mereka juga mendapati purata masa cuti kerja berkurangan lebih satu pertiga daripada sehari setiap bulan.

Intervensi peringkat individu

Tugasan menulis secara ekspresif dengan 46 pekerja, menunjukkan pengurangan jumlah pembulian. Intervensi pendidikan tingkah laku kognitif telah dijalankan dengan 60 pekerja yang mengalami masalah pembelajaran, tetapi tiada perubahan ketara dalam buli.

Intervensi pelbagai peringkat

Satu kajian menilai gabungan intervensi pendidikan dan dasar polisi merentasi lima organisasi dan mendapati tiada perubahan ketara dalam pembulian.

Apakah kesimpulannya?

Ulasan ini menunjukkan bahawa intervensi organisasi dan individu boleh mencegah pembulian di tempat kerja. Walau bagaimanapun, kualiti bukti adalah sangat rendah. Kami memerlukan kajian yang menggunakan cara yang lebih baik untuk menilai kesan semua jenis intervensi untuk mencegah pembulian.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Ministry of Health Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information