Mengapa meningkatkan diagnosis jangkitan kulat invasif penting?
Jangkitan kulat berlaku pada orang yang tidak dapat melawan jangkitan, dan jangkitan ini boleh mengancam nyawa pada kumpulan orang ini. Jangkitan kulat sukar didiagnosis. Kegagalan untuk mengenali jangkitan kulat ketika berlaku (keputusan ujian negatif-palsu) menyebabkan penangguhan rawatan dan hasil yang lebih buruk. Diagnosis jangkitan yang salah (hasil positif palsu) boleh menyebabkan sumber daya yang membazir dan penyelidikan dan rawatan yang tidak perlu.
Apakah matlamat ulasan ini?
Ulasan ini bertujuan untuk mengetahui seberapa tepat ujian darah untuk diagnosis jangkitan kulat pada orang yang tidak dapat melawan jangkitan. Para penulis ulasan menyertakan 49 kajian untuk menjawab soalan ini.
Apakah yang telah dikaji dalam ulasan ini?
Lima jenis ujian darah dibandingkan. Semua kajian ini menggunakan kaedah biokimia yang serupa untuk mengesan kehadiran molekul gula (β-D-glukan) yang merupakan komponen dinding sel kulat. Molekul ini biasanya tidak muncul dalam darah, jadi pengesanannya menunjukkan bahawa terdapat kulat. Ujian memerlukan sampel darah, yang kemudian dihantar ke makmal untuk analisis. Diagnosis jangkitan kulat adalah sukar, dan diagnosis sering dibuat hanya setelah penyakit lanjut. Ujian darah dapat memberikan diagnosis lebih awal, jadi mereka akan memberikan kelebihan berbanding kaedah terkini.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Ulasan ini merangkumi kajian terhadap 6244 orang yang berisiko mendapat jangkitan kulat. Hasil kajian menunjukkan bahawa ketepatan berbeza-beza di setiap kajian. Variasinya sangat hebat sehingga tidak mungkin memperoleh anggaran yang tepat mengenai ketepatan pelbagai ujian.
Sejauh manakah ketepatan keputusan daripada kajian-kajian dalam ulasan ini?
Dalam kajian yang disertakan, diagnosis jangkitan kulat invasif dibuat menggunakan kriteria yang dikembangkan oleh Organisasi Penyelidikan dan Rawatan Kanser Eropah (EORTC) *. Kriteria EORTC dianggap boleh dipercayai dan kajian secara umumnya dilakukan dengan baik, jadi kemungkinan diagnosis rujukan tepat. Ketepatan ujian darah untuk jangkitan kulat invasif sangat berbeza. Beberapa kajian mendapati bahawa ujian darah itu tepat, tetapi yang lain mendapati bahawa ujian darah tidak begitu tepat. Sebab untuk berbezaan ini tidak jelas.
* Kriteria EORTC memberikan diagnosis rujukan. Hasil ujian darah dibandingkan dengan diagnosis rujukan.
Untuk siapakah keputusan ulasan ini dapat dipakai?
Sebilangan besar kajian termasuk di pusat perubatan akademik atau hospital awam di Amerika Syarikat, Jerman, dan Itali. Keadaan asas yang paling biasa adalah kanser (47%) dan kemasukan ke rawatan intensif (33%). Sebilangan besar peserta adalah orang dewasa. Keseluruhan kelaziman jangkitan kulat invasif adalah 28%.
Apakah implikasi ulasan ini?
Ketepatan diagnosis berbeza-beza di setiap kajian. Tidak jelas sama ada ujian dapat mengesan jangkitan kulat invasif dengan tepat. Ujian dengan tepat mengesan penyakit dalam beberapa kajian, tetapi pada yang lain tidak. Sebab-sebab variasi ketepatan tidak difahami.
Adakah ulasan ini terkini?
Penulis ulasan mencari dan melihat kajian-kajian yang diterbitkan sehingga Jun 2019.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my