Soalan ulasan
Bagaimana ivacaftor mempengaruhi hasil klinikal (survival, kualiti hidup dan fungsi paru-paru) dalam kalangan orang dengan fibrosis sistik (CF)?
Latar belakang
Dalam kalangan orang dengan CF, permukaan saluran pernafasan tidak mempunyai cukup air disebabkan oleh satu protein abnormal; ini menyukarkan penyingkiran lendir tebal dan melekit, yang mengakibatkan jangkitan paru-paru. Ivacaftor bertindak ke atas protein abnormal dalam kalangan orang dengan mutasi tertentu untuk membolehkan saluran pernafasan menyimpan lebih banyak air dan menyingkirkan lendir dengan lebih baik, mengurangkan jangkitan paru-paru.
Ivacaftor ditujukan kepada orang dengan mutasi kelas III dan IV, dan telah dikaji dalam kalangan orang dengan mutasi G551D (kelas III), R117H (kelas IV) dan F508del (kelas II).
Ciri-ciri kajian
Kami memasukkan lima kajian (447 peserta) yang membandingkan ivacaftor dengan plasebo (rawatan palsu tanpa ubatan aktif) yang bertahan antara empat dan 48 minggu. Tiga kajian melibatkan sejumlah 238 orang dengan sekurangnya satu salinan mutasi G551D, satu kajian melibatkan 140 orang dengan dua salinan mutasi F508del dan satu melibatkan 69 orang dengan sekurangnya satu salinan mutasi R117H. Bukti adalah terkini sehingga 21 November 2018.
Keputusan-keputusan utama
Mutasi F508del
Kajian tersebut tidak melaporkan sebarang kematian atau menunjukkan penambahbaikan fungsi paru-paru, skor kualiti hidup atau berat badan. Batuk dan eksaserbasi pulmonari (penyakit paru-paru memberang) adalah peristiwa buruk paling banyak dilaporkan apabila kedua-dua ivacaftor dan plasebo diambil; jumlah pemberangan adalah sama di dalam kedua-dua kumpulan. Konsentrasi klorida peluh dikurangkan dengan ivacaftor.
Mutasi G551D
Tiada kematian dilaporkan. Kanak-kanak dan orang dewasa yang mengambil ivacaftor menunjukkan penambahbaikan fungsi paru-paru, tetapi hanya orang dewasa melaporkan skor kualiti hidup yang lebih tinggi. Orang yang diberi plasebo melaporkan lebih banyak batuk dan mengalami lebih banyak episod pengurangan fungsi paru-paru; lebih ramai orang dewasa yang mengambil ivacaftor melaporkan episod pening. Bilangan yang sama pesakit yang mengambil ivacaftor dan plasebo menangguhkan ubatan, atau menarik diri dari kajian sama sekali, akibat kesan sampingan (seperti isu psikologi, penyakit hati, masalah pernafasan teruk). Terdapat lebih eksaserbasi pulmonari serius apabila plasebo diambil berbanding dengan ivacaftor. Orang dewasa yang mengambil ivacaftor lebih jarang dimasukkan ke hospital dan memerlukan kurang antibiotik intravena untuk eksaserbasi. Kedua-dua kanak-kanak dan orang dewasa menambah berat badan mereka dengan ivacaftor. Terdapat penurunan konsentrasi klorida peluh dengan ivacaftor.
Mutasi R117H
Tiada kematian berlaku dalam kajian ini. Skor kualiti hidup meningkat dengan ivacaftor tetapi fungsi paru-paru tidak. Batuk dan eksaserbasi pulmonari (penyakit paru-paru memberang) adalah peristiwa buruk paling banyak dilaporkan apabila kedua-dua ivacaftor dan plasebo diambil; jumlah pemberangan adalah sama di dalam kedua-dua kumpulan. Tiada perbezaan dalam berat badan; tetapi seperti mutasi lain terdapat pengurangan dalam konsentrasi klorida peluh dengan ivacaftor.
Bukti mencadangkan ivacaftor adalah rawatan efektif untuk orang (umur melebihi lebih enam tahun) dengan fibrosis sistik dan mutasi G551D, tetapi tidak bagi mereka dengan mutasi F508del atau R117H.
Kualiti bukti
Di dalam kebanyakan kajian, individu dibahagikan kepada kumpulan rawatan yang berlainan secara rawak dengan peluang yang sama untuk menerima sama ada plasebo atau ivacaftor; tiada orang mengetahui rawatan mana orang yang seterusnya terima, agar orang yang lebih sihat tidak menerima ivacaftor dan membuat keputusan kelihatan lebih baik. Kami tidak pasti sama ada sesiapa yang terlibat dalam kajian mengetahui siapa yang menerima rawatan yang mana satu dan bagaimana ini mempengaruhi keputusan. Tiada kajian melaporkan semua keputusan dengan jelas; kadang-kadang mereka tidak melaporkan keputusan dalam cara yang kami boleh guna untuk ulasan dan kadang-kadang mereka langsung tidak melaporkan data. Ini mempengaruhi kepastian kami tentang keseluruhan keputusan. Maklumat tentangi kesan-kesan sampingan adalah terhad kerana tidak ramai orang mengalaminya, oleh itu adalah sukar untuk menilai sama ada wujud perbezaan antara kumpulan-kumpulan rawatan.
Kami menilai kualiti bukti ulasan ini sebagai sederhana hingga rendah.
Sumber pembiayaan kajians
Semua kajian dibiaya oleh Persyarikatan Farmaseutikal Vertex. Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), Yayasan Fibrosis Sistic\k (CFF) dan badan pembiayaan bukan farmaseutikal lain juga turut menyokong kajian-kajian tersebut.
Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.