Adakah menggunakan kepingan getah tipis (empangan getah) untuk mengasingkan gigi dari bahagian mulut yang lain semasa prosedur pergigian memperbaik kejayaan pembaikan gigi?

Mesej utama

- Apabila empangan getah diguna untuk mengasingkan gigi selain gulungan kapas, pembaikan gigi lebih cenderung kekal di tempatnya dan berada dalam keadaan baik selepas enam bulan.
- Kami perlu melakukan lebih banyak kajian dalam bidang ini, untuk memperkukuh bukti. Kajian-kajian ini perlu menggunakan kaedah mantap, menyusul orang lebih dari enam bulan, dan menyiasat kesan buruk (tidak diingini) dan kos.

Mengapa mengasingkan gigi ketika ia sedang diperbaiki?

Apabila pengamal pergigian perlu memperbaiki gigi, mereka sering mengasingkannya dari bahagian lain mulut untuk:

- menjauhkan air liur untuk mengelakkannya merosakkan ikatan bahan;
- mengurangkan aerosol semasa prosedur pergigian.
- menghalang bahan, cecair atau alat yang digunakan untuk pembaikan daripada tertelan atau merosakkan mulut.

Apakah yang diguna oleh pengamal pergigian untuk mengasingkan gigi?

Kaedah lazim untuk mengasingkan gigi dari bahagian mulut yang lain adalah menggunakan gulungan kapas dan tiub yang menyedut air liur. Teknik ini menggunakan peralatan mudah dan murah, tetapi memerlukan penggantian gulungan kapas yang kerap.

Opsyen alternatif adalah menggunakan kepingan getah nipis (empangan getah). Mula-mula, pengamal pergigian membuat lubang kecil pada kepingan getah tersebut. Mereka kemudian meletakkannya di atas gigi yang akan dirawat, membentuk halangan di sekitarnya. Kepingan getah dipegang dengan beberapa kaedah, seperti klasp yang diletakkan di atas gigi atau sekeping baji getah kecil di antara gigi.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu jika empangan getah memperbaik kejayaan pembaikan gigi berbanding kaedah lain untuk mengasingkan gigi. Kami juga ingin tahu jika ia dikaitkan dengan kesan yang tidak diingini (buruk).

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan penggunaan empangan getah dengan kaedah lain untuk mengasingkan gigi. Kami bandingkan dan rumuskan keputusan kajian-kajian dan mennggred keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami mendapati enam kajian melibatkan sejumlah 1342 orang (kebanyakan kanak-kanak). Gigi-gigi mereka perlu diperbaik akibat pelbagai alasan, termasuk karies (lubang pada gigi yang disebabkan oleh bakteria) dan kehilangan tisu keras di bahagian dasar gigi. Kajian-kajian membandingkan empangan getah dengan:

- gulungan kapas (lima kajian); dan
- sistem Isolite (kaedah baharu yang menggabung blok plastik, pelindung untuk lidah dan pipi, dan tiub yang menyedut air liur dan kandungan lain mulut) (satu kajian).

Empangan getah berbanding gulungan kapas

Bukti mencadangkan apabila empangan getah diguna berbanding gulungan kapas, pembaikan gigi lebih cenderung kekal di tempatnya dan berada dalam keadaan baik selepas enam bulan (2 kajian). Tiada cukup bukti kukuh untuk menentukan jika ini benar selepas enam bulan.

Empangan getah berbanding sistem Isolite

Bukti tidak cukup kukuh untuk menentukan jika menggunakan empangan getah memperbaik kejayaan membaiki gigi apabila dibanding dengan sistem Isolite.

Kesan sampingan

Tiada kajian menyiasat kesan sampingan.

Apakah batasan bukti?

Bukti adalah berdasarkan bilangan kecil kajian yang dilaksanakan dengan cara yang mungkin memperkenalkan ralat dalam keputusan-keputusan.

Adakah bukti ini mutakhir?

Bukti adalah terkini hingga Januari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College). Disunting oleh Gan Siew Hua (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information