Soalan ulasan
Kami mengulas bukti dari kajian rawak terkawal mengenai kesan melatonin terhadap kegelisahan sebelum dan selepas pembedahan dalam orang dewasa yang menjalani pembedahan apabila dibandingkan dengan plasebo atau ubat penenang benzodiazepin.
Latar belakang
Orang sering merasa tidak senang dan bimbang sebelum dan selepas pembedahan. Kegelisahan berlaku dalam kalangan 80% individu yang menjalani pembedahan. Mereka mungkin bimbang mengenai penyakit mereka, keperluan untuk dimasukkan ke hospital dan menjadi tidak berupaya, anestesia, pembedahan, kesakitan, dan situasinya.
Faktor yang mempengaruhi risiko kegelisahan termasuk umur (umur lebih muda), wanita, jenis pembedahan, jenis anestesia, dan perbezaan budaya dan agama. Kegelisahan boleh menyebabkan peningkatan kesakitan dan keperluan untuk pengurusan kesakitan tambahan.
Intervensi untuk mengurangkan tahap kegelisahan termasuk ubat penenang anxiolytic seperti benzodiazepin, maklumat dan komunikasi berkesan sekitar waktu pembedahan, terapi tingkah laku kognitif, muzik, dan terapi urut.
Benzodiazepin boleh menyebabkan masalah kognitif seperti kesukaran mengingat dan menumpukan perhatian dan mengantuk pada siang hari, dan boleh mengganggu koordinasi dan pergerakan fizikal, walaupun selepas dos tunggal.
Melatonin adalah hormon yang dihasilkan dalam kelenjar pineal dalam otak yang mengatur ritma sirkadian. Ini adalah perubahan badan dan tingkah laku yang mengikuti kitaran harian dan membantu menentukan corak tidur. Kajian telah menunjukkan melatonin dapat mengurangkan kegelisahan. Ia menyebabkan sedikit atau tiada masalah kognitif dan tidak mempunyai kesan-kesan sampingan serius yang diketahui. Ini bermakna ia boleh menjadi alternatif yang baik untuk rawatan perubatan.
Tarikh carian
Bukti untuk kemas kini ulasan ini adalah terkini sehingga Julai 2020.
Ciri-ciri kajian
Kami menemui 27 kajian rawak terkawal melibatkan 2319 peserta dewasa yang melihat kepada kesan melatonin yang diberikan sebelum pembedahan terhadap tahap kegelisahan sebelum dan selepas pembedahan. Kebanyakan kajian dijalankan di negara-negara membangun. Kami menyertakan sebarang jenis prosedur pembedahan yang mana anestesia umum, setempat, atau topikal digunakan.
Dos melatonin bervariasi antara 3 ke 10 mg atau 0.05 ke 0.4 mg/kg. Dos benzodiazepin (midazolam, oxazepam, atau alprazolam) berkisar antara 0.25 ke 15 mg atau 0.05 ke 0.2 mg/kg.
Tiada kajian melaporkan penerimaan pembiayaan dari pengeluar ubat atau agensi dengan kepentingan komersial.
Keputusan utama
Dua puluh empat kajian membandingkan melatonin dengan plasebo, dan 11 kajian membandingkan melatonin dengan ubat benzodiazepin. Gabapentin, pregabalin, dan clonidine juga dibandingkan dengan melatonin dalam beberapa kajian.
Melatonin mengurangkan kegelisahan sebelum pembedahan apabila dibandingkan dengan plasebo (18 kajian, 1264 peserta; bukti berkepastian sederhana).
Pengurangan kegelisahan selepas pembedahan adalah kecil berbanding dengan apa yang didapati dengan plasebo (7 kajian, 524 peserta; bukti berkepastian rendah), termasuk pada enam jam selepas pembedahan (2 kajian, 73 peserta; bukti berkepastian rendah).
Melatonin mungkin mempunyai kesan yang serupa dengan benzodiazepin terhadap tahap kegelisahan sebelum pembedahan (7 kajian, 409 peserta; bukti berkepastian sederhana) dan sejurus selepas pembedahan (3 kajian, 176 peserta; bukti berkepastian rendah).
Empat belas kajian tidak melaporkan peristiwa buruk, enam kajian melaporkan tiada kesan sampingan yang didapati, dan tujuh kajian melaporkan kes loya, mengantuk, pening, dan sakit kepala. Benzodiazepin mengganggu fungsi psikomotor dan kognitif lebih daripada plasebo dan melatonin (dalam 11 kajian). Ia menyebabkan tahap penenang yang paling besar, walaupun melatonin juga menunjukkan penenang berbanding plasebo (14 kajian). Tiada peristiwa buruk yang serius dilaporkan.
Kualiti bukti
Kami berkeyakinan sederhana bahawa melatonin mengurangkan kegelisahan sebelum pembedahan berbanding dengan plasebo. Kesan segera dan lambat terhadap kegelisahan selepas pembedahan adalah kurang jelas apabila dibandingkan dengan plasebo (bukti berkualiti rendah).
Kami tidak menemui sebarang bukti bahawa melatonin berbeza daripada benzodiazepin dalam kesan anti-kegelisahan (bukti berkualiti sederhana dan rendah).
Masih belum jelas sama ada kesan melatonin terhadap pengurangan kegelisahan terpakai kepada semua pesakit pembedahan.
Kesimpulan
Pemberian melatonin sebelum pembedahan mungkin mengurangkan kegelisahan sebelum pembedahan dengan berkesan, tetapi sebarang pengurangan kegelisahan selepas pembedahan dengan melatonin adalah kurang jelas apabila dibandingkan dengan plasebo.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my