Latar belakang
Penghidap kanser mungkin mengalami gejala-gejala seperti kesakitan, kebimbangan, atau kesedihan. Urutan disertai dengan ataupun tanpa aromaterapi (menggunakan minyak pati, iaitu minyak semulajadi yang mungkin mempunyai bau tumbuhan daripada mana ianya diekstrak) mungkin membantu melegakan gejala-gejala ini. Urutan melibatkan perbuatan dan tindakan mengenakan tekanan ke atas tubuh. Urutan diberikan menggunakan minyak pembawa (minyak asas atau minyak sayuran) berserta atau tanpa minyak pati. Urutan dengan minyak pati seperti minyak mawar atau lavender dikenali sebagai urutan aromaterapi.
Keputusan utama dan kualiti bukti
Pada Ogos 2015, pengulas mencari kajian-kajian klinikal yang mengkaji urutan beserta dengan atau tanpa aromaterapi untuk melegakan gejala dalam kalangan mereka yang menghidap kanser. Pengulas menemui 19 kajian kecil (1274 peserta) yang berkualiti sangat rendah. Beberapa kajian kecil mencadangkan urutan tanpa aromaterapi mungkin membantu melegakan kesakitan dan kebimbangan berjangka pendek dalam kalangan mereka yang menghidap kanser. Kajian-kajian kecil lain mencadangkan urutan aromaterapi mungkin memberikan kelegaan berjangka sederhana atau panjang bagi gejala-gejala ini. Bagaimanapun, kualiti bukti adalah sangat rendah dan keputusan adalah tidak konsisten. Pengulas tidak pasti rawatan-rawatan ini akan membawa apa-apa manfaat.
Diterjemahkan oleh Noor Salwah S Omar. Disunting oleh Ahmad FIlza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi salwah@usm.my