Peningkatan pemakanan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam pencegahan utama penyakit kardiovaskular

Penyakit kardiovaskular merupakan satu beban global dan berbeza diantara pelbagai kawasan. Variasi serantau ini dikaitkan dengan faktor diet dan kurangnya pengambilan buah-buahan dan sayuran yang mempunya kaitan dengan kadar penyakit kardiovaskular yang lebih tinggi. Ulasan ini menilai keberkesanan dalam meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai intervensi tunggal di kalangan orang dewasa yang sihat serta mereka yang mempunyai risiko penyakit kardiovaskular dalam pencegahan penyakit itu tanpa sebarang pengaruh dari corak diet lain atau modifikasi cara hidup . Kami mendapati 10 kajian merangkumi 1730 peserta di mana 6 kajian mengkaji penyediaan buah-buahan dan sayur-sayuran serta meningkatkan pengambilan manakala empat kajian mengkaji nasihat pemakanan untuk meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran. Terdapat variasi dalam jenis buah-buahan dan sayur-sayuran tetapi semua intervensi yang mengkaji peruntukan cuma melibatkan satu komponen buah-buahan atau sayur-sayuran. Terdapat juga variasi dalam jumlah buahan-buahan dan sayur-sayuran yang peserta dinasihatkan untuk makan. Beberapa kajian menasihatkan peserta untuk makan sekurang-kurangnya 5 hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran sehari manakala kajian lain menasihatkan pengambilan paling kurang lapan atau sembilan hidangan sehari. Durasi intervensi diantara tiga bulan sehingga setahun. Kesan sampingan dilaporkan dalam tiga kajian dan ia termasuklah peningkatan pergerakan usus, mulut berbau serta bau badan.Semua kajian yang dimasukkan tidak mempunyai durasi yang cukup untuk mengkaji kesan peningkatan dalam pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran terhadap penyakit kardiovaskular seperti serangan sakit jantung. Tiada bukti yang kuat untuk membuktikan bahawa peruntukan untuk satu jenis buah-buahan atau sayur-sayuran mempunyai kesan yang berfaedah terhadap tekanan darah serta tahap lipid tetapi kebanyakan kajian merupakan kajian jangka pendek. Terdapat beberapa bukti untuk mencadangkan faedah nasihat pemakanan untuk meningkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran tetapi penemuan ini berdasarkan dua kajian. Lebih banyak kajian diperlukan untuk mengesahkan penemuan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Yassin Ikbaal (Melaka-Manipal Medical College). Disunting oleh Lai Nai Ming, Taylor's University School of Medicine, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi yassin9221@yahoo.com. 

Tools
Information