Modulator reseptor progesterone untuk endometriosis

Soalan ulasan

Penyelidik dalam Cochrane Collaboration mengkaji bukti-bukti tentang keberkesanan dan keselamatan modulator reseptor progesterone untuk wanita dengan endometriosis.

Latar belakang

Endometriosis adalah sejenis penyakit tisu endometrial (kelenjar dan stroma) di luar rongga rahim. Ia bergantung kepada oestrogen dan sekali gus dapat dilihat terutamanya pada tahun-tahun reproduktif. Ia boleh menyebabkan kesakitan di bahagian abdomen, umumnya semasa haid atau berkaitan dengan hubungan seks. Modulator reseptor progesterone telah dicadangkan sebagai salah satu rawatan hormon untuk endometriosis.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati terdapat 10 ujikaji rawak terkawal termasuk 960 wanita; bukti adalah sehingga November 2016.

Keputusan utama

Tiga kajian menilai mifepristone. Kualiti bukti sederhana menunjukkan bahawa mifepristone melegakan dismenorea (haid yang menyakitkan) di kalangan wanita dengan endometriosis. Bukti mencadangkan bahawa jika 40% daripada wanita yang mengambil plasebo mengalami dismenorea, maka antara 3% hingga 10% daripada wanita yang mengambil mifepristone akan berbuat demikian. Kualiti bukti yang rendah mencadangkan bahawa mifepristone juga melegakan disparunea (sakit semasa hubungan seks). Walau bagaimanapun, amenorea (ketiadaan haid) dan panas badan adalah kesan sampingan biasa mifepristone. Hampir 90% golongan mifepristone mempunyai amenorea, dan 24% mempunyai rasa Panas, walaupun penyelidik melaporkan kejadian hanya satu setiap (1%) kalangan wanita yang mengambil plasebo. Bukti tidak mencukupi untuk menunjukkan perbezaan dalam kadar rasa loya, muntah atau keletihan, jika ada.

Perbandingan dos mifepristone yang berbeza tidak menunjukkan hasil yang pasti, walaupun bukti mencadangkan bahawa dos 2.5 mg mungkin kurang berkesan berbanding dos yang lebih tinggi.

Kajian lain menilai modulator reseptor progesterone lain. Penyelidik membandingkan gestrinone dengan rawatan lain (danazol atau leuprolin), ulipristal dengan leuprolide acetate, dan asoprisnil dengan plasebo. Namun, bukti adalah tidak mencukupi bagi membolehkan kesimpulan yang kukuh mengenai keselamatan dan keberkesanan intervensi ini.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah di antara sederhana ke rendah. Kelemahan utama adalah risiko kecenderungan yang serius (berkaitan dengan laporan kaedah yang teruk dan kadar keciciran dalam yang paling tinggi atau tidak jelas), ketidaktepatan yang sangat serius (berkaitan dengan kadar rendah acara dan lebar selang keyakinan) dan tidak langsung (hasil dinilai di dalam subkumpulan peserta).

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information