Pemakanan bagi wanita yang menjalani pembedahan untuk kanser ovari

Wanita yang menghidap kanser ovari, (kanser yang berkembang dalam dua organ (ovari) yang menghasilkan telur pada wanita) lebih berkemungkinan mengalami kesukaran dengan makanan dan pemakanan yang berkhasiat berbanding wanita dengan jenis kanser ginekologi yang lain. Salah satu sebabnya mungkin kerana gejala kanser ovari sukar untuk dikenalpasti. Wanita mungkin kurang minat terhadap makanan, rasa kenyang, sakit atau perut yang sakit atau bengkak. Sesetengah wanita menjadi lebih kurus di bahagian badan mereka tetapi kelihatan lebih besar di sekeliling perut mereka disebabkan oleh pembentukan cecair atau tumor besar yang tidak normal. Kemungkinan tiada perubahan dalam berat badan atau berat badan meningkat, ini amat sukar untuk mengetahui wanita mana yang mengalami masalah akibat pengambilan makanan yang kurang.

Wanita yang tidak dapat makan dan minum dengan baik berisiko mengalami kekurangan zat makanan dan kemudiannya mungkin mengalami lebih banyak komplikasi daripada rawatan untuk kanser ovari berbanding wanita yang tidak kekurangan zat makanan. Adalah disyorkan bahawa orang yang menghadapi masalah makan dan minum patut dikenal pasti dan dibantu apabila mereka menerima penjagaan hospital. Pada masa ini, tiada kaedah yang dipersetujui untuk mencari dan merawat masalah pemakanan bagi wanita yang menghidap kanser ovari.

Dalam ulasan ini, penulis mencari kajian (ujian rawak terkawal (RCT)) dari seluruh dunia untuk mengetahui cara wanita yang menghidap kanser ovari dinilai sama ada mereka makan dan minum dengan baik serta bantuan yang mungkin diberikan kepada mereka dengan pemakanan sebelum atau selepas pembedahan. Kekurangan maklumat didapati mengenai topik ini.

Satu RCT ditemui di mana sekumpulan kecil wanita (40 termasuk 35 dengan kanser ovari) yang memerlukan pembedahan elektif yang meluas untuk kanser ginekologi termasuk pembedahan pada usus, dapat memulakan semula makan makanan biasa pada hari selepas pembedahan. Mereka dapat meninggalkan hospital lebih awal dan tidak mengalami lebih banyak komplikasi pada bulan selepas pembedahan berbanding wanita yang tidak dibenarkan meneruskan makan makanan biasa sehingga sekurang-kurangnya tiga hari selepas pembedahan.

Lebih banyak kajian adalah diperlukan untuk mengesahkan sama ada memulakan semula pemakanan biasa sehari selepas pembedahan boleh disyorkan untuk wanita yang menjalani pembedahan untuk kanser ovari. Lebih banyak penyelidikan adalah diperlukan untuk menyediakan maklumat tentang cara mengenal pasti dan merawat masalah kekurangan zat makanan pada wanita yang menghidap kanser ovari.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Cheryl Chan Zhi Ying (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information