Adakah methylphenidate rawatan yang berkesan untuk kanak-kanak dan remaja dengan gangguan hiperaktif defisit perhatian (ADHD) dan adakah ia menyebabkan kesan yang tidak diingini?

Mesej utama

- Methylphenidate mungkin mengurangkan hiperaktif dan impulsif dan mungkin membantu kanak-kanak untuk menumpukan perhatian. Methylphenidate mungkin juga membantu memperbaik tingkah laku secara am, tetapi tidak mempengaruhi kualiti hidup.

- Methylphenidate tidak meningkatkan risiko kesan tidak diingini yang serius (mengancam nyawa) apabila diguna untuk tempoh sehingga enam bulan. Walau bagaimanapun, ia dikaitkan dengan peningkatan risiko kesan tidak diingini yang tidak serius seperti masalah tidur dan kurang selera makan.

- Kajian masa depan harus memfokus lebih kepada pelaporan kesan yang tidak diingini dan harus dilakukan dalam jangka masa yang lebih lama.

Apakah gangguan hiperaktif defisit perhatian (ADHD)?

ADHD adalah salah satu daripada masalah psikiatrik kanak-kanak yang lazim didiagnosis dan dirawat. Kanak-kanak yang mengalami ADHD sukar untuk menumpukan perhatian. Mereka sering berkelakuan hiperaktif (resah gelisah, tidak dapat duduk diam untuk jangka masa lama) dan impulsif (melakukan perkara tanpa berfikir dahulu). ADHD boleh menyukarkan kanak-kanak untuk berjaya di sekolah, kerana mereka sukar untuk mengikut arahan dan menumpukan perhatian. Masalah tingkah laku mereka boleh menggangu keupayaan untuk menjalin hubungan baik dengan keluarga dan rakan-rakan, dan mereka sering terlibat dalam lebih banyak masalah berbanding kanak-kanak lain.

Bagaimana ADHD dirawat?

Methylphenidate (contohnya, Ritalin) adalah ubat yang paling kerap diberi kepada kanak-kanak dan remaja dengan ADHD. Methylphenidate ialah perangsang yang membantu meningkatkan aktiviti di bahagian otak, seperti yang terlibat dengan tumpuan. Methylphenidate boleh diambil sebagai tablet atau diberi sebagai tampalan kulit. Ia boleh dirumuskan untuk memberi kesan serta-merta, atau perlahan-lahan, dalam tempoh beberapa jam. Methylphenidate boleh menyebabkan kesan yang tidak diingini, seperti sakit kepala, sakit perut dan masalah tidur. Ia kadangkala menyebabkan kesan tidak diingini yang serius seperti masalah jantung, halusinasi atau 'tics' muka (sentak).

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu jika methylphenidate memperbaik gejala ADHD kanak-kanak (perhatian, hiperaktif) berdasarkan penilaian guru menggunakan pelbagai skala dan sama ada ia menyebabkan kesan tidak diingini yang serius, seperti kematian, kemasukan ke hospital atau hilang upaya. Kami juga berminat dengan kesan tidak diingini yang kurang serius seperti masalah tidur dan hilang selera makan, dan kesannya terhadap tingkah laku umum dan kualiti hidup kanak-kanak.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menyiasat penggunaan methylphenidate dalam kalangan kanak-kanak dan remaja dengan ADHD. Peserta dalam kajian-kajian perlu berumur 18 tahun atau lebih muda dan didiagnosis ADHD. Mereka mungkin mengalami gangguan atau penyakit lain dan sedang mengambil ubat lain atau menjalani rawatan tingkah laku. Mereka perlu mempunyai IQ (darjah kecerdasan) normal. Kajian-kajian boleh membandingkan methylphenidate dengan plasebo (sesuatu yang direka untuk berupa and berasa seperti methylphenidate tetapi tanpa bahan aktif) atau tiada rawatan. Peserta perlu dipilih secara rawak untuk menerima methylphenidate atau tidak. Kami membanding dan merumus keputusan-keputusan kajian dan menilai keyakinan.bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami dapati?

Kami mendapati 212 kajian dengan 16,302 kanak-kanak atau remaja dengan ADHD. Kebanyakan kajian membandingkan methylphenidate dengan plasebo. Kebanyakan kajian adalah kecil dengan kira-kira 70 kanak-kanak, dengan purata umur 10 tahun (umur antara 3 hingga 18 tahun). Kebanyakan kajian adalah berjangka pendek, purata sekitar sebulan; kajian terpendek berlangsung selama satu hari dan paling lama 425 hari. Kebanyakan kajian adalah di AS.

Berdasarkan penilaian guru, berbanding plasebo atau tiada rawatan, methylphenidate:

- boleh memperbaik gejala ADHD (21 kajian, 1728 kanak-kanak)

- mungkin tiada perbezaan kepada kesan tidak diingini yang serius (26 kajian, 3673 peserta)

- boleh menyebabkan lebih banyak kesan tidak serius yang tidak diingini (35 kajian, 5342 peserta)

- boleh memperbaik tingkah laku umum (7 kajian 792 peserta)

- mungkin tidak mempengaruhi kualiti hidup (4 kajian, 608 peserta)

Batasan bukti

Keyakinan kami terhadap keputusan adalah terhad kerana beberapa sebab. Selalunya orang dalam kajian mungkin mengetahui rawatan yang diambil oleh kanak-kanak, yang boleh mempengaruhi keputusan. Pelaporan keputusan adalah tidak lengkap dalam kebanyakan kajian dan sesetengah hasil keputusan adalah berbeza-beza merentasi kajian-kajian. Kajian-kajian adalah kecil dan mereka menggunakan skala yang berbeza untuk mengukur gejala. Dan kebanyakan kajian hanya berlangsung untuk jangka masa yang singkat, menjadikannya mustahil untuk menilai kesan jangka panjang methylphenidate. Sekitar 41% kajian dibiaya atau separa biaya oleh industri farmaseutikal.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ini adalah kemaskini ulasan yang dijalankan pada 2015. Bukti adalah terkini sehingga Mac 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tan May Loong (RUMC & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai penterjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information