Apakah itu epilepsi rintang ubat?
Epilepsi adalah salah satu gangguan neurologi berpanjangan yang biasa; ia melibatkan 1% populasi dunia. Sehingga 30% orang yang menghidap epilepsi terus mengalami sawan (aktiviti elektrik di dalam otak meletus secara tiba-tiba yang mengubah cara ia berfungsi untuk masa yang singkat) walaupun terapi yang mencukupi dengan ubat antiepileptik. Mereka ini dianggap menghidap epilepsi rintang ubat.
Apa yang kami ingin ketahui?
Ubat antiepileptik boleh digunakan secara tunggal (sebagai monoterapi) atau dalam gabungan (politerapi). Stiripentol adalah ubat antiepileptik yang dibuat di Perancis dan diluluskan pada tahun 2007 oleh Agensi Ubat Eropah sebagai terapi tambahan dengan valproate dan clobazam untuk rawatan sindrom Dravet (epilepsi yang jarang berlaku dan rintang ubat yang bermula pada tahun pertama kehidupan bayi yang sihat). Ulasan ini menilai bukti tentang penggunaan stiripentol sebagai rawatan tambahan untuk epilepsi fokal rintang ubat pada orang yang mengambil ubat antiepileptik.
Apa yang kami dapati?
Berdasarkan kriteria ulasan kami, kami hanya memasukkan satu kajian dalam ulasan. Dalam kajian yang disertakan, 67 kanak-kanak diberi ubat tiruan (plasebo) sebagai tambahan kepada rawatan biasa mereka selama sebulan, dan kemudian diberi stiripentol tambahan (tanpa plasebo) selama empat bulan. 32 kanak-kanak yang bertindak balas terhadap stiripentol (yang mengalami separuh bilangan sawan atau kurang apabila mengambil stiripentol berbanding pada bulan pertama) dimasukkan ke dalam bahagian kajian seterusnya. Tujuh belas daripada kanak-kanak ini meneruskan stiripentol tambahan, manakala 15 yang lain menerima plasebo tambahan. Peringkat kajian ini adalah rawak dan buta berganda (rawatan diperuntukkan secara rawak, dan kanak-kanak mahupun doktor tidak tahu siapa yang menerima rawatan apa).
Selepas dua bulan, penulis kajian mendapati tiada perbezaan yang jelas antara dua kumpulan rawatan dari segi pengurangan sawan (bilangan kanak-kanak dengan separuh bilangan sawan atau kurang) atau kebebasan sawan (bilangan kanak-kanak yang tidak mengalami sawan). Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang mengambil stiripentol lebih berkemungkinan mempunyai kesan sampingan yang berbahaya berbanding mereka yang mengambil plasebo. Keputusan kajian mungkin tidak terpakai kepada populasi umum kerana ia hanya memasukkan kanak-kanak yang bertindak balas terhadap stiripentol.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti kerana kajian itu memasukkan sedikit kanak-kanak, beberapa kanak-kanak meninggalkan kajian sebelum tamat, dan rawatan yang diberikan kepada semua kanak-kanak pada bahagian pertama kajian mungkin menjejaskan bilangan sawan dalam kumpulan rawak, bahagian buta berganda kajian.
Pada masa ini, tidak ada bukti yang menyokong penggunaan stiripentol sebagai rawatan tambahan untuk epilepsi fokal tahan ubat. Kajian besar, rawak, dan dijalankan dengan baik adalah diperlukan untuk topik ini.
Bukti adalah terkini sehingga Mac 2022.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my