Kipas elektrik untuk mengurangkan kesan kesihatan akibat gelombang haba

Gelombang haba dijangka menjadi lebih kerap terjadi dan kesannya boleh memudaratkan. Sebagai contoh, sehingga 30,000 orang mungkin telah maut akibat gelombang haba yang berlaku di Eropah pada Ogos 2003. Satu cara untuk mendapat kelegaan daripada haba adalah dengan menggunakan kipas elektrik, tetapi sama ada ini akan mendatangkan lebih banyak kebaikan atau kemudaratan tidak dapat dipastikan. Kipas mungkin membantu untuk meningkatkan kehilangan haba jika suhu adalah di bawah 35 °C dan kipas tidak ditujukan terus terhadap individu itu, tetapi apabila suhu melebihi 35 °C, kipas mungkin sebenarnya menyumbang kepada penambahan haba. Berpeluh secara berlebihan juga boleh menyebabkan dehidrasi dan masalah kesihatan yang lain. Oleh itu, adalah penting untuk mengetahui tentang manfaat dan mudarat kipas elektrik yang mungkin ada apabila memilih sama ada untuk menggunakannya. Ulasan ini terpakai sekiranya keputusan menggunakan kipas tersebut melibatkan anda sendiri, tetapi ia juga relevan untuk keputusan pihak berkuasa kesihatan awam yang lebih meluas, seperti sama ada untuk memberikan kipas elektrik kepada sekumpulan individu semasa gelombang haba. Perkara ini penting bagi mereka yang dikira lebih terdedah kepada kesan haba, seperti orang tua yang kurang berupaya menyejukkan badan secara berpeluh atau meningkatkan aliran darah ke kulit mereka.

Ulasan Cochrane ini cuba untuk memberikan beberapa jawapan yang dapat membantu pembuat keputusan. Kami mencari penyelidikan berkualiti tinggi yang membandingkan sekumpulan individu yang menggunakan kipas dengan sekumpulan lain yang tidak menggunakannya semasa gelombang haba. Walau bagaimanapun, kami tidak menemui sebarang penyelidikan yang memenuhi ciri-ciri kami. Kami menemui beberapa kajian yang menggunakan rekaan yang kurang kukuh untuk menjawab soalan sebegini, dan ini memberikan keputusan yang bercampur-campur. Ada yang mencadangkan bahawa kipas mungkin mengurangkan masalah kesihatan, sementara yang lain mencadangkan bahawa kipas mungkin memburukkan keadaan.

Oleh itu, kajian yang telah dijalankan setakat ini tidak menyelesaikan ketidakpastian tentang kesan kesihatan penggunaan kipas elektrik semasa gelombang haba. Mereka yang perlu membuat keputusan patut mempertimbangkan bukti terkini, di samping polisi dan garis panduan tempatan apabila membuat pilihan mereka. Mereka mungkin ingin membantu menyelesaikan ketidakpastian yang berterusan ini dengan menjalankan jenis kajian berkualiti tinggi yang dapat mendatangkan bukti kukuh yang diperlukan untuk menentukan manfaat dan mudarat penggunaan kipas elektrik semasa gelombang haba.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick).Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information