Latar belakang
Pembedahan mikrovaskular merujuk kepada sebarang pembedahan melibatkan saluran darah bersaiz kecil yang dijalankan di bawah mikroskop pembedahan, yang membolehkan, sebagai contoh, pembaikian arteri dan vena bahagian badan yang terputus. Saluran darah ini biasanya berdiameter 1 mm ke 2 mm. Penanaman semula adalah penyambungan semula bahagian badan yang tertanggal sepenuhnya, dengan jari dan ibu jari menjadi bahagian badan yang sering ditanam semula. Ini sering dirujuk sebagai penanaman semula jari. Secara asasnya, penanaman semula jari bukan sahaja melibatkan pengembalian aliran darah melalui arteri dan vena malah memulihkan kerangka tulang jari kaki, jari, atau ibu jari, bersama dengan pembaikan tendon dan saraf, jika perlu. Oklusi (penyumbatan) satu atau lebih saluran darah yang telah dibaiki kerana pembentukan darah beku di dalam saluran darah boleh menyebabkan kegagalan penanaman semula. Ubat pencair darah diguna untuk mengurangkan pembekuan darah, dan berpotensi untuk mencegah komplikasi tersebut. Ubat pencair darah seperti heparin bukan pecahan (UFH) telah digunakan untuk mencegah pembentukan darah beku selepas penanaman semula jari. Ia tidak jelas jika heparin dengan berat molekul yang rendah (LMWH) mempunyai manfaat yang sama.
Keputusan utama
Kajian rawak terkawal (RCT) ialah kajian klinikal yang mana peserta mempunyai peluang yang sama untuk menerima rawatan atau pembanding. Ulasan sistematik ini mengenal pasti empat RCTs membandingkan LMWH beserta UFH atau tanpa LMWH. Kajian-kajian tersebut merangkumi sejumlah 258 orang dengan sekurang-kurangnya 273 jari atau jari kaki (digit) yang ditanam semula. Bukti adalah terkini sehingga 17 Mac 2020. Kajian-kajian tersebut berbeza dari segi hasil yang mereka laporkan dan cara ia dilaporkan, maka kami tidak dapat menggabungkan semua maklumat.
Tiga kajian menunjukkan tiada bukti manfaat LMWH apabila dibandingkan dengan UFH dalam kadar kejayaan penanaman semula, ketidakcukupan mikrovaskular kerana penyekatan saluran darah (aliran darah yang buruk kerana penyumbatan dalam saluran darah bersaiz kecil), dan kesan sampingan seperti pendarahan. Tiada bukti perbezaan yang jelas antara penggunaan LMWH atau tiada LMWH dalam kadar kejayaan penanaman semula dalam satu kajian. Begitu juga, tiada bukti perbezaan yang jelas dalam kejadian pengurangan aliran darah (mikroedaran dikompromi) yang memerlukan pembedahan mikrovaskular lebih lanjut (eksplorasi semula atau insisi), atau penyebab ketidakcukupan mikrovaskular kerana penyumbatan saluran darah, dikesan dalam kajian yang dianalis dengan jari atau orang.
Dengan bukti yang terhad, yang kami nilai kepastian sebagai rendah atau sangat rendah, mencadangkan tiada manfaat yang jelas bagi LMWH dalam meningkatkan kadar kejayaan penanaman semula atau mencegah penyekatan mikrovaskular dalam penanaman semula jari apabila dibandingkan dengan UFH atau tiada LMWH.
Kepastian bukti
Kepastian bukti secara keseluruhan adalah sangat rendah kerana batasan dalam reka bentuk dan laporan kajian. Sebagai contoh, kajian-kajian tersebut tidak mengambil langkah untuk menyembunyikan daripada seseorang rawatan yang telah mereka terima, dan mereka melaporkan keputusan yang tidak dinyatakan dalam perancangan asal. Saiz sampel kajian yang disertakan tidak cukup besar untuk memberi anggaran kesan yang tepat. Kajian besar yang direka untuk mengurangkan batasan-batasan kajian ini diperlukan.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney) Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rsiucd.edu.my