Apakah kombinasi dos tetap dan bagaimana ia boleh menambahbaikkan penjagaan pesakit dengan tuberkulosis
Tuberkulosis (TB) adalah masalah kesihatan penting, terutamanya di negara membangun. Rawatan untuk TB pulmonari dalam pesakit baru termasuk empat ubat oral yang diambil selama enam bulan, kadang-kadang sebagai kombinasi dos tetap (FDCs) yang digabungkan dalam satu tablet, atau diambil secara asing sebagai formulasi ubat tunggal. World Health Organization mencadangkan bahawa ubat kombinasi dos tetap diberikan untuk mengurangkan bilangan tablet yang diambil pesakit. Dari segi pembekal, ini mungkin mengurangkan kesilapan pemberian ubat, meningkatkan efisiensi pembekalan ubat; dari segi pesakit, FDCs memudahkan rawatan dan menambahbaikkan kepatuhan.
Kami menjalankan ulasan untuk menilai keberkesanan, keselamatan dan kebolehterimaan FDCs berbanding dengan formulasi ubat tunggal untuk merawat pesakit baru menerima diagnosa TB pulmonari.
Apakah yang dinyatakan oleh penyelidikan
Kami mencari kajian yang relevan sehingga 20 November 2015, dan memasukkan 13 kajian rawak terkawal yang menyertakan 5824 pesakit. Kajian telah diterbitkan antara 1987 dan 2015 dan memasukkan peserta dengan diagnosa TB pulmonari baru dalam rawatan di negara dengan prevalens TB yang tinggi. Hanya dua kajian yang melaporkan status HIV peserta yang dimasukkan.
Kemungkinan sedikit atau tiada perbezaan dalam FDCs berbanding dengan formulasi ubat tunggal untuk kegagalan rawatan (bukti berkualiti sederhana); pengulangan penyakit mungkin menjadi lebih kerap (bukti berkualiti rendah); dan bilangan kematian adalah sama (bukti berkualiti sederhana).
Sedikit atau tiada perbezaan wujud dalam lumuran kahak atau penukaran kultur (bukti berkualiti tinggi), dan tiada perbezaan ditunjukkan untuk kesan sampingan serius (bukti berkualiti sederhana) atau kesan sampingan yang membawa kepada pemberhentian terapi (bukti berkualiti rendah).
Kesimpulan pengarang
Kami menyimpulkan bahawa kombinasi dos tetap mempunyai keberkesanan yang sama dengan formulasi ubat tunggal untuk merawat pesakit dengan diagnosa baru TB pulmonari.
Diterjemahkan oleh Khoo Jing Hern (Melaka Manipal Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi khoojinghern@hotmail.com.