Sakit pada tulang, sendi, dan otot adalah sangat biasa dan boleh jadi berterusan. Dijangkakan 50% populasi awam akan menderita daripada kesakitan jenis ini sekurang-kurangnya selama tiga bulan atau lebih sepanjang hayat mereka. Keadaan ini dipanggil sakit ototrangka kronik.
Opioid adalah sejenis ubat penghilang rasa sakit yang kuat yang digunakan untuk merawat orang yang menghidap sakit kronik tahap sederhana hingga teruk. Orang yang mengambil ubat ini sering mengalami kesan-kesan sampingan, termasuk kesan-kesan sampingan yang teruk.
Ulasan Cochrane ini bertujuan untuk menilai keberkesanan (pengurangan intensiti kesakitan) dan keselamatan tapentadol (opioid baru) dalam sakit ototrangka kronik tahap sederhana hingga teruk, berbanding plasebo (ubat palsu) dan ubat yang lain yang berkesan untuk kesakitan tersebut.
Kami melakukan pencarian penulisan pada Mac 2014 untuk kajian yang membandingkan tapentadol dengan plasebo atau ubat yang lain dalam kalangan orang dewasa dengan sakit ototrangka.
Kami menemui empat kajian yang membandingkan tapentadol dengan plasebo atau oksikodon (opioid yang lain) dalam 4094 orang dewasa.
Terdapat bukti berkualiti sederhana bahawa 3 daripada 10 orang yang dirawat dengan tapentadol mengalami sekurang-kurangnya 50% pengurangan kesakitan (bertindak balas terhadap rawatan) sementara hanya 2 daripada 10 orang yang dirawat dengan oksikodon dan plasebo bertindak balas terhadap rawatan.
Terdapat juga bukti berkualiti sederhana bahawa orang yang dirawat dengan tapentadol berisiko lebih tinggi untuk menarik diri daripada kajian kerana kesan-kesan sampingan berbanding plasebo (2 daripada 10 orang yang dirawat dengan tapentadol dan 1 daripada 10 orang yang dirawat dengan plasebo). Bagi orang yang dirawat dengan oksikodon, 4 daripada 10 menarik diri kerana kesan-kesan sampingan. Sembelit, loya dan muntah, dan gatal (pruritus) adalah kurang dengan tapentadol berbanding dengan oksikodon tetapi tiada perbezaan dalam keletihan, insomnia, mengantuk (somnolens), dan sakit kepala.
Manfaat klinikal keseluruhan tapentadol dalam sakit ototrangka kronik tahap sederhana hingga teruk ditemui dalam kajian klinikal adalah kecil secara relatifnya (kesimpulan umum yang ditemui dalam semua kajian opioid untuk sakit kronik). Kajian lebih lanjut adalah diperlukan untuk mengetahui golongan manakah pesakit ototrangka kronik yang boleh mendapat manfaat yang lebih banyak daripada opioid baru ini.
Diterjemahkan oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my