Penyakit jantung dan saluran darah (CVD) merupakan beban penjagaan kesihatan di seluruh dunia. Namun demikian, risiko penyakit CVD dianggap boleh diturunkan dengan mengubah beberapa faktor risiko yang boleh diubah suai seperti pemakanan termasuk pengambilan teh. Ulasan ini menilai keberkesanan ekstrak teh hijau, teh hitam atau teh hitam/hijau dalam kalangan orang dewasa yang sihat dan orang dewasa yang berisiko tinggi untuk penyakit CVD. Kami menemui 11 kajian rawak terkawal. Empat kajian menilai intervensi teh hitam dan tujuh kajian menilai intervensi teh hijau. Terdapat variasi dari segi dos dan bentuk (minuman, tablet atau kapsul) intervensi teh hitam and teh hijau, dan tempoh intervensi adalah dalam lingkungan tiga hingga enam bulan. Kejadian-kejadian buruk telah dilaporkan dalam lima kajian yang termasuk dalam ulasan ini. Antaranya termasuk diagnosa kanser prostat, kemasukan ke hospital untuk influenza, radang apendiks dan lekangan retina. Semua kejadian tersebut adalah tidak mungkin berkaitan dengan intervensi yang dinilai. Hasil ulasan ini menunjukkan bahawa teh hitam dan teh hijau mempunyai kesan yang bermanfaat terhadap paras lemak dalam darah and tekanan darah tetapi hasil tersebut adalah berasaskan sebilangan kecil kajian yang berisiko bias. Analisis yang dilakukan bagi kedua-dua jenis teh menunjukkan kesan-kesan bermanfaat terhadap kolesterol LDL dan tekanan darah tetapi sekali lagi, hasil ini adalah berasaskan sebilangan kecil kajian yang berisiko bias. Setakat ini, sebilangan kecil kajian yang termasuk dalam ulasan ini menunjukkan beberapa faedah teh hijau dan teh hitam terhadap tekanan darah dan paras lemak dalam darah tetapi lebih banyak kajian yang berjangka panjang dan berisiko bias yang rendah diperlukan untuk membuktikan faedah teh hijau dan teh hitam yang tersebut.
Diterjemahkan oleh Chew Jia En (Penang Medical College). Disunting oleh Tan May Loong (Penang Medical College). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi jiaen_c2017@ms.pmc.edu.my