Blok saraf femoral untuk kesakitan akut selepas pembedahan penggantian lutut

Pembedahan penggantian keseluruhan lutut adalah pembedahan ortopedik yang biasa dan menyakitkan. Blok saraf femoral (FNB) ialah teknik analgesia yang menyekat sensasi lutut untuk mengurangkan kesakitan selepas pembedahan. FNB diberikan sebagai satu suntikan atau gabungan ubat kebas secara berterusan pada bahagian pangkal paha.

Ulasan ini membandingkan FNB dengan teknik analgesia lain yang biasa (analgesia kawalan pesakit (PSA) dengan opioids, analgesia epidural, suntikan analgesia tempatan dan analgesia oral). Terdapat 45 kajian rawak yang melibatkan 2710 peserta. Dalam kajian-kajian yang dirangkumkan, 30 kumpulan rawatan membandingkan FNB dengan PCA opioids, 10 membandingkan FNB dengan analgesia epidural, lima membandingkan FNB dengan suntikan analgesia tempatan, satu membandingkan FNB dengan analgesia oral dan empat membandingkan FNB secara berterusan dengan satu suntikan FNB. Purata kualiti kaedah bagi kajian-kajian yang dirangkumkan adalah sederhana.

FNB (mana-mana jenis) menyebabkan kesakitan ringan semasa berehat dan bergerak dalam 72 jam pertama selepas pembedahan, berbanding dengan PCA opioid sahaja. FNB juga menyebabkan penggunaan opioid yang lebih rendah, kurang pesakit yang mengalami loya dan muntah, lebih kelenturan lutut dan lebih kepuasan dalam kalangan pesakit, berbanding dengan PCA opioid. Tambahan pula, FNB secara berterusan memberikan kelegaan kesakitan yang lebih baik berbanding yang dicapai dengan FNB secara satu suntikan.

Tiada perbezaan dalam kesakitan selepas pembedahan dan penggunaan opioid pada jam 24 didapati antara FNB dan analgesia epidural, walaupun keputusan FNB menunjukkan kurang pesakit yang mengalami loya dan muntah, dan lebih kepuasan dalam pesakit dilaporkan dengan analgesia. Kami juga mendapati tiada perbezaan dalam kesakitan selepas pembedahan antara peserta yang diberikan FNB berbanding dengan suntikan analgesia tempatan. Maklumat adalah tidak mencukupi untuk penulis ulasan membuat kesimpulan tentang perbandingan antara FNB dengan suntikan analgesia tempatan atau analgesia oral, atau keselamatan pelbagai teknik analgesia.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Roshan Arjun Ananda (Monash University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information