Soalan ulasan
Dalam bayi dengan pengudaraan mekanikal, adakah pergerakan menggunakan paru-paru (LRM) membantu mengurangkan kematian dan morbiditi pernafasan, berbanding tanpa penggunaan?
Latar belakang
Bayi baru yang lahir dalam keadaan kritikal (bayi dari lahir sehingga umur empat minggu) biasanya memerlukan intubasi (perletakan tiub pernafasan dalam laluan pernafasan) dan pengudaraan mekanikal konvensional (penggunaan mesin pernafasan) untuk menyokong pernafasan mereka. Walaupun terapi ini selalunya menyelamatkan nyawa, ia juga membawa risiko kecederaan paru-paru. LRM telah dicadangkan untuk mengurangkan kejadian kecederaan paru-paru dan meningkatkan hasil pernafasan pada pesakit yang mempunyai bantuan pernafasan. LRM melibatkan peningkatan tekanan saluran udara untuk tempoh yang singkat, yang berfungsi untuk membuka semula kawasan paru-paru yang mengecut. LRM telah terbukti berkesan pada orang dewasa yang mempunyai bantuan pernafasan; bagaimanapun, bukti mengenai penggunaannya dalam bayi adalah terhad. Tidak ada konsensus pendapat sama ada LRM sesuai atau berkesan dalam populasi ini.
Ciri-ciri kajian
Dalam carian sehingga 13 April 2020, kami mengenal pasti empat kajian yang menyiasat penggunaan LRM dalam bayi dengan pengudaraan mekanikal. Dua kajian yang mendaftarkan 44 bayi pramatang (lahir sebelum usia kandungan 30 minggu) dengan sindrom kesukaran pernafasan dibandingkan antara LRM dalam beberapa jam selepas kelahiran kepada penjagaan rutin. Kajian ketiga yang melibatkan 12 bayi membandingkan dua jenis LRM berbeza yang digunakan secara langsung selepas sedutan tiub pernafasan kepada penjagaan rutin. Kajian keempat yang mendaftarkan 48 pesakit kanak-kanak (termasuk bayi) juga membandingkan LRM selepas penyedutan kepada penjagaan rutin. Kajian ini tidak menyumbang data kepada ulasan kerana data yang berkaitan dengan peserta bayi tidak dapat diasingkan.
Keputusan utama
Apabila data daripada dua kajian yang melibatkan bayi pramatang digabungkan, kami mendapati tiada perbezaan yang jelas antara LRM dan penjagaan rutin untuk hasil kematian, kejadian displasia bronkopulmonari (penyakit paru-paru kronik pada bayi pramatang), tempoh terapi oksigen tambahan, dan tempoh sokongan bantuan pernafasan. Sementara itu, data daripada 12 bayi menunjukkan bahawa dua jenis LRM berbeza boleh membantu memulihkan jumlah paru-paru selepas disedut berbanding penjagaan rutin. Salah satu LRM (dinamakan PEEP berganda (tekanan ekspirasi akhir positif)) juga boleh mengurangan tekanan darah, yang boleh membawa kesan negatif pada bayi.
Kepastian bukti
Kualiti bukti untuk keputusan ini adalah rendah kerana kajian-kajian adalah kecil dan terdedah kepada bias akibat batasan dalam kaedah kajian. Panduan berasaskan bukti untuk penggunaan LRM dalam bayi dengan pengudaraan mekanikal adalah terhad. Ulasan kami patut meningkatkan kesedaran tentang kekurangan bukti berkepastian tinggi dalam bidang ini dan menggalakkan penyelidikan lanjut. Penyelidikan tambahan akan bernilai memandangkan penemuan kami tentang manfaat LRM yang mungkin tetapi tidak pasti dalam bayi dengan pengudaraan mekanikal.
Diterjemah oleh Amanda Yap Qiao Ying (Hospital Putrajaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my