Imunisasi ibu dengan vaksin influenzae jenis B (HiB) dan vaksin influenzae viral mungkin mengurangkan risiko jangkitan dalam ibu dan bayi. Bagaimanapun, ini adalah satu isu berkontroversi. Kedua-dua jangkitan boleh menyebabkan pneumonia yang teruk dan kematian di kalangan kanak-kanak di bawah lima tahun, terutamanya di negara-negara membangun. Kadar komplikasi berkait dengan influenza berikutan hospitalisasi adalah lebih tinggi di kalangan wanita mengandung, bayi dan bayi yang baru lahir. Wanita hamil yang telah menerima vaksinasi influenza, mempunyai perlindungan antibodi anti-influenza, yang boleh dipindahkan dengan pasif kepada bayi untuk meningkatkan kesihatan mereka. Bayi yang ibunya memiliki imun biasanya mendapat simptom influenza yang ditangguhkan pada permulaan dan dalam jangka masa yang lebih pendek. Kajian ini menyiasat sama ada vaksin wanita hamil dengan Hib dan vaksin influenza viral semasa hamil boleh mengurangkan risiko jangkitan di kalangan ibu dan bayi dan peningkatan tahap kesihatan bagi kedua-duanya.
Dua kajian dimasukkan dalam ulasan ini. Satu kajian yang dianggap mempunyai masalah dari segi cara kajiannya menilai impak vaksinasi Hib semasa mengandung dan kajian lain yang dianngap lebih memuaskan dari segi cara kajiannya menilai kesan vaksin influenza viral semasa mengandung.
Dalam satu kajian kecil (melibatkan 213 wanita, terutamanya Hispanik yang berpendapatan rendah, dan 213 neonat, yang dijalankan di Amerika Syarikat), wanita diberikan sama ada vaksin Hib atau kawalan plasebo di antara 34 hingga 36 minggu kehamilan. Kajian ini tidak melaporkan sebarang hasil primer, seperti mortaliti, jangkitan trek respiratori atau sepsis dikalangan wanita atau bayi mereka. Kajian itu juga tidak melaporkan hasil sekunder yang lain dalam rumusan ini selain kelahiran pramasa dan terdapat tiada perbezaaan jelas diantara kumpulan vaksinasi dengan plasebo.
Dalam satu kajian besar (yang melibatkan 2116 wanita dan 2049 bayi, yang dijalankan di Soweto, Afrika Selatan) wanita hamil menerima sama ada vaksin influenza viral tidak aktif atau kawalan plasebo. Vaksinasi influenza viral telah dikaitkan dengan pengurangan dalam influenza yang disahkan di kalangan wanita dan bayi mereka. Walau bagaimanapun, tidak terdapat perbezaan yang jelas antara kumpulan dari segi hasil kehamilan (keguguran, kelahiran pramatang dan kelahiran mati), penyakit seperti influenza di kalangan wanita atau bayi mereka (kualiti bukti yang tinggi), sebarang penyakit pernafasan, hospitalisasi untuk jangkitan pernafasan dan kematian di kalangan wanita (kualiti bukti sederhana) dan bayi mereka (kualiti bukti sederhana), hospitalisasi neonat untuk sepsis (kualiti bukti sederhana) atau hospitalisasi ibu untuk sebarang jangkitan (kualiti bukti sederhana). Begitu juga, tidak terdapat perbezaan yang jelas dalam mana-mana tindak balas sistemik yang buruk antara kumpulan vaksin dan kumpulan plasebo. Bukti daripada satu kajian besar yang berkualiti tinggi mengenai keberkesanan vaksin influenza viral semasa mengandung, menunjukan kekurangan kes-kes influenza di kalangan wanita and bayi yang dibuktikan secara ujian transcriptase-polymerase-chain-reaction (RT-PCR). Keputusan ini mencadangkan bahawa strategi ini berpotensi untuk dipertingkatkan, tetapi bukti lanjut dari konteks yang berbagai diperlukan.
Kajian lanjut untuk kedua-dua Hib dan vaksin influenza viral dengan reka bentuk kajian yang sesuai dan kumpulan perbandingan yang sesuai diperlukan.
Pada masa ini terdapat dua kajian yang sedang dijalankan - ia akan dimasukkan ke dalam ulasan ini untuk maklumat masa hadapan.
Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (Penang Medical College),. Disunting oleh Lai Nai Ming (School of Medicine, Taylor's University, Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi fslee@pmc.edu.my.