Intervensi untuk mengurangi kesilapan pengubatan dalam kalangan orang dewasa di hospital

Latar belakang soalan

Kesan sampingan ubat (ADE) ialah keadaan akibat intervensi perubatan yang berkaitan dengan ubat. ADE kadangkala dikaitkan dengan kesilapan pengubatan. ADE dan kesilapan pengubatan boleh menyebabkan kemudaratan yang teruk, kos dan juga kematian.

Intervensi untuk mengurangi kesilapan pengubatan adalah termasuk pelarasan ubat, iaitu proses membandingkan pesanan ubat baru pesakit terhadap ubat-ubatan yang telah diambil oleh pesakit. Pelarasan ubat boleh dilakukan bersama-sama dengan intervensi lain, seperti sistem preskripsi elektronik, kod bar untuk administrasi ubat yang betul, perubahan organisasi, maklumbalas tentang kesilapan pengubatan, pendidikan profesional dan sistem pendispensan ubat yang lebih baik.

Soalan ulasan

Apakah keberkesanan intervensi untuk mengurangi kesilapan pengubatan untuk orang dewasa di hospital?

Kami melibatkan penjagaan pesakit dalam (unit sekunder atau tertiari, unit rawatan rapi, dewan bedah), penjagaan pesakit luar dan jabatan kemalangan dan kecemasan.

Ciri-ciri kajian

Kami mencari pangkalan data kajian saintifik. Kami melibatkan 65 kajian, 51 daripadanya adalah kajian rawak terkawal, melibatkan 23,182 orang dewasa di hospital. Baki 14 kajian adalah kajian siri masa yang besar melibatkan jangka masa panjang sebelum dan selepas titik intervensi untuk menilai kesan intervensi, melibatkan lebih 87,000 peserta.

Kepastian bukti

Kami menilai bukti yang ada untuk menentukan sejauh mana kepastian kami tentang kebenaran kesan-kesan tersebut dan tidak berubah dengan penambahan lebih banyak bukti. Secara umumnya, kami menilai kepastian bukti adalah rendah hingga sederhana, tetapi sangat rendah untuk beberapa dapatan.

Keputusan utama

Pelarasan ubat berbanding tanpa pelarasan ubat mungkin mengurangkan ADE dan boleh mengurangkan kesilapan pengubatan. Ia mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas tempoh penginapan atau kualiti hidup. Walau bagaimanapun, kesan pelarasan ubat terhadap dapatan akhir ini kurang tepat; adalah tidak jelas sama ada kesannya memberi faedah atau memudaratkan (kepastian bukti rendah hingga sederhana).

Berbanding pelarasan ubat oleh profesional lain, pelarasan ubat yang dilakukan oleh ahli farmasi mungkin meningkatkan ADE (tetapi keputusan ini kurang tepat); mungkin mengurangkan kesilapan pengubatan; dan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas tempoh penginapan, kematian semasa dimasukkan ke hospital, dan kemasukan semula. Walau bagaimanapun, kesan ini kurang tepat (kepastian bukti rendah).

Berbanding tanpa bantuan, pelarasan ubat berbantukan pangkalan data yang dijalankan oleh ahli farmasi mungkin mengurangkan potensi ADE dan mungkin tidak mempunyai kesan ke atas tempoh penginapan, tetapi kesan terakhir itu adalah kurang tepat (bukti kepastian rendah).

Pelarasan ubat yang dilakukan oleh juruteknik farmasi terlatih dan bukannya ahli farmasi, mungkin tidak mempunyai kesan ke atas tempoh penginapan, tetapi kesan ini kurang tepat (bukti kepastian rendah).

Pelarasan ubat sebelum kemasukan ke hospital, berbanding selepas kemasukan, boleh meningkatkan percanggahan yang telah dikenalpasti; namun, kesannya kurang tepat (bukti kepastian rendah).

Berbanding penjagaan biasa, beberapa intervensi mempunyai kesan yang berbeza:

Intervensi multimodal mungkin meningkatkan resolusi percanggahan (kepastian bukti sederhana).

Sistem preskripsi elektronik mungkin mengurangkan kesilapan pengubatan dan ADE. Makluman yang diutamakan juga boleh menghalang ADE (kepastian bukti rendah hingga sederhana).

Pengenalan kod bar peserta atau ubat boleh mengurangkan kesilapan pengubatan (kepastian bukti rendah).

Pengurangan waktu bekerja dan maklumbalas tentang kesilapan pengubatan boleh mengurangkan kesilapan pengubatan yang serius; namun, kesannya kurang tepat (kepastian bukti rendah).

Rumusan pengarang

Berbanding penjagaan biasa, pelarasan ubat, sistem preskripsi elektronik, pengunaan kod bar dan maklumbalas kepada profesional mungkin mengurangkan ADE atau kesilapan pengubatan, atau kedua-duanya. Walau bagaimanapun, kaedah terbaik untuk menyampaikan intervensi ini, dan kesan intervensi lain, adalah kurang jelas.

Sejauh manakah ulasan ini mutakhir?

Penulis ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Januari 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information