Soalan ulasan
Penyelidik di Cochrane mengulas bukti sedia ada tentang kesan vasodilator (ubat yang digunakan untuk meluaskan saluran darah) dalam kalangan wanita yang menjalani rawatan kesuburan.
Latar belakang
Bagi wanita-wanita yang menjalani rawatan kesuburan pelbagai sebab, intervensi yang bertujuan untuk memperbaiki kesediaan rahim adalah sangat penting. Pelbagai ubat telah dinilai, dengan tujuan untuk meningkatkan kadar implantasi dan kelahiran hidup. Ini termasuklah agen vasodilator, yang diguna untuk meluaskan saluran darah bagi meningkatkan kesediaan endometrium, menebalkan endometrium, dan menyokong relaksasi uterus, di antara manfaat-manfaat lain.
Ciri-ciri kajian
Kami mendapati 15 kajian rawat terkawal (sejenis eksperimen di mana peserta dibahagikan kepada satu atau lebih kumpulan rawatan secara rawak) yang membandingkan penggunaan vasodilator dengan plasebo atau tiada rawatan dalam sejumlah 1326 wanita yang menjalani rawatan kesuburan. Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2017
Keputusan-keputusan utama
Hanya tiga di antara kajian-kajian tersebut melaporkan kadar kelahiran hidup Secara keseluruhan, vasodilator mungkin membuat sedikit atau tiada perubahan dalam kadar kelahiran hidup. Bukti berkualiti sederhana menunjukkan vasodilator mungkin meningkatkan kadar kesan sampingan keseluruhan (termasuk sakit kepala dan takikardia (degupan jantung lebih cepat dari normal)) berbanding plasebo atau tiada rawatan. Walau bagaimanapun, bukti berkualiti rendah menunjukkan vasodilator mungkin meningkatkan peluang untuk hamil.
Kualiti bukti
Bukti adalah berkualiti rendah hingga sederhana. Lebih banyak penyelidikan diperlukan (satu kajian sedang dijalankan dan akan dimasukkan ke dalam ulasan baharu yang dikemaskini.
Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (Chris_ZY@live.com.