Mesej utama
Kami tidak pasti sama ada rawatan di hospital atau di rumah (pesakit luar) adalah lebih baik bagi sesetengah orang yang mengalami pembekuan darah dalam paru-paru. Kami tidak menemui bukti jelas tentang perbezaan penting dalam bilangan kematian, pendarahan, berulangnya pembekuan darah baru, atau kepuasan pesakit, kerana keputusannya tidak tepat dan kajian tidak melaporkan kesan sampingan pada tekanan darah atau maklumat tentang bagaimana orang mengikuti nasihat perubatan. Lebih banyak kajian yang direka dengan baik diperlukan sebelum doktor boleh membuat keputusan berkaitan amalan.
Mengapakah soalan ini penting?
Darah beku dalam paru-paru (pulmonary embolism) adalah punca utama kematian dan penyakit. Ini boleh berlaku selepas bekuan darah terputus dari tempat lain di dalam badan dan bergerak dalam darah ke paru-paru. Gumpalan sering boleh bergerak dari kaki, di mana ia dipanggil trombosis urat dalam. Cara orang dirawat bergantung kepada sama ada mereka berisiko rendah atau berisiko tinggi, tetapi kebanyakan orang diberi ubat penipisan darah (antikoagulan) di hospital. Bagi sesetengah kes berisiko rendah dengan embolisme pulmonari (akut) tiba-tiba, rawatan di rumah mungkin lebih baik daripada menyimpannya di hospital. Faedah yang mungkin termasuk lebih sedikit orang di hospital, kurang risiko mendapat jangkitan di hospital, penjimatan kos dan kualiti hidup yang lebih baik berkaitan kesihatan. Kami ingin mengetahui sama ada terdapat sebarang perbezaan risiko dan faedah antara orang yang mengalami pembekuan darah dalam paru-paru yang dirawat di rumah berbanding mereka yang dirawat di hospital.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian rawak terkawal yang merawat orang dewasa dengan serangan tiba-tiba, berisiko rendah, embolisme pulmonari di rumah atau di hospital. Dalam kajian rawak terkawal, rawatan diterima oleh seseorang ditentukan secara rawak, dan jenis kajian ini memberikan bukti yang paling boleh dipercayai tentang kesan rawatan.
Apa yang kami dapati?
Kami mendapati dua kajian melibatkan 453 orang yang mengalami embolisme pulmonari secara tiba-tiba yang dirawat di rumah atau di hospital. Satu kajian menggunakan rawatan yang sama untuk orang yang dirawat di rumah atau di hospital, dan kajian kedua menggunakan rawatan yang berbeza. Kami tidak menemui sebarang perbezaan yang jelas dalam jumlah kematian, pendarahan, bekuan baru, atau kepuasan pesakit antara kumpulan orang yang dirawat di rumah atau di hospital.
Kajian tidak memberikan maklumat tentang kesan sampingan rawatan atau sama ada orang dapat mengikuti arahan yang betul di rumah.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak begitu pasti tentang bukti daripada dua kajian yang disertakan. Ini kerana terdapat hanya sebilangan kecil orang dalam kajian (dan bilangan peristiwa yang kecil) dan kerana kami tidak dapat memastikan bahawa laporan kajian yang tiada kesan ditunjukkan pernah diterbitkan.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Mei 2021.
Diterjemahkan oleh Syarifah Amirah Balqis Awang Damit (Lincoln University College). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.eu.my