Apakah ubat yang terbaik untuk jangkitan fungus kuku jari kaki?

Soalan ulasan

Kami berhasrat untuk mengetahui ubat manakah yang diambil melalui mulut untuk sekurang-kurangnya enam minggu, paling berkesan untuk merawat jangkitan fungus kuku jari kaki, kedaan yang dipanggil onikomikosis dalam kalangan orang pelbagai umur. Kami membuat perbandingan di antara sesama ubat-ubat tersebut dan juga dengan plasebo (ubat atau rawatan tidak aktif).

Latar belakang

Jangkitan fungus kuku jari kaki adalah penyakit lazim yang mempunyai risiko rendah untuk berlakunya komplikasi dan risiko berkaitan kesihatan. Namun, bagi mereka yang terjejas teruk, ia boleh menjejaskan aktiviti harian yang normal.

Ubat yang diambil melalui mulut untuk merawat penyakit ini didapati lebih cepat dan berkesan daripada rawatan topikal. Terdapat tiga ubat antifungal utama: griseofulvin, pelbagai ubat di dalam kumpulan azole (itraconazole, fluconazole, albaconazole, posaconazole, ravuconazole), dan terbinafine.

Kami ingin menilai dua hasil utama berikut:

1. Adakah kuku kelihatan normal selepas rawatan (pulih secara klinikal)? 2. Adakah kuku itu bebas dari fungus pada tahap mikroskopik (pulih secara mikologi)?

Ciri-ciri kajian

Kami telah mengenalpasti 48 kajian dengan 10,200 peserta dari kedua-dua jantina. Purata umur peserta dalam kajian adalah di antara 36 hingga 68 tahun; kebanyakan kajian melibatkan peserta beumur 18 tahun atau lebih. Kajian-kajian yang dimasukkan membuat perbandingan di antara sesama tiga kumpulan ubat berkenaan atau dengan plasebo. Kebanyakan kajian berlangsung di premis pesakit luar dermatologi di USA dan Eropah. Peserta mempunyai jangkitan fungus terutamanya di bawah kuku jari kaki. Sebilangan kecil kajian memasukkan sekumpulan peserta tertentu misalnya peserta dengan diabetes. Semua kajian kecuali satu melihat kepada jangkitan fungus yang disebabkan oleh dermatofit, fungus yang menghadam keratin. Tempoh kajian adalah di antara 4 bulan hingga 2 tahun, dengan kebanyakan kajian berlangsung selama 12 hingga 15 bulan.

Keputusan utama

Bukti ini adalah terkini sehingga Oktober 2016.

Kami mendapati bukti berkualiti tinggi iaitu berbanding plasebo, kedua-dua terbinafine dan azole adalah lebih berkesan untuk mencapai bentuk kuku yang normal dan menyembuhkan jangkitan kuku jari kaki (iaitu melihat pada tahap mikroskopik untuk melihat jika fungus telah hilang). Terbinafine atau azole mungkin juga dapat mencegah jangkitan berulang dengan lebih baik berbanding plasebo (bukti berkualiti rendah). Terdapat kemungkinan tiada perbezaan ketara bagi risiko kesan buruk yang dilaporkan apabila dibandingkan sama ada azole atau terbinafine dengan plasebo (kualiti bukti sederhana). Kesan buruk yang lazim dalam kalangan peserta yang dirawat dengan terbinafine dan azole termasuk masalah gangguan perut dan sakit kepala.

Kami mendapati, terbinafine mungkin lebih berkesan berbanding dengan azole dalam menyembuhkan kuku dari segi rupa dan jangkitan (bukti kualiti sederhana). Risiko kesan sampingan yang berlaku mungkin sama untuk kedua-dua rawatan (bukti kualiti sederhana), dan kesan buruk yang lazim dalam kedua-dua kumpulan adalah sakit kepala, jangkitan virus dan ruam. Terdapat kemungkinan tiada perbezaan dalam kadar jangitan berulang(bukti kualiti rendah).

Jenis rawatan yang ketiga, griseofulvin berkemungkinan adalah sama berkesan seperti ubat azole dalam menyembuhkan kuku dari segi rupa dan jangkitan (kualiti bukti sederhana), tetapi mungkin kurang berkesan berbanding dengan terbinafine apabila dinilai dengan hasil yang sama (kualiti bukti rendah). Griseofulvin menyebabkan lebih banyak kesan sampingan berbanding dua rawatan di atas, namun kualiti bukti adalah sederhana (berbanding azole) hingga rendah (berbanding terbinafine). Kesan buruk yang lazim bagi kedua-dua kumpulan adalah masalah gangguan perut dan perasaan tidak sihat. Kami tidak pasti tentang kesan griseofulvin berbanding dengan azole terhadap kadar jangkitan berulang; dan kajian yang membandingkan terbinafine dan griseofulvin tidak menilai hasil ini.

Kualiti bukti

Bukti untuk hasil utama penyembuhan (dari segi rupa dan jangkitan) adalah berkualiti tinggi hingga sederhana kecuali untuk perbandingan di antara griseofulvin dengan terbinafine (kualiti rendah) dan kombinasi terbinafine bersama azole berbanding terbinafine sahaja (kualiti bukti sangat rendah). Kualiti bukti untuk kesan sampingan terutamanya, adalah sederhana tetapi dua perbandingan mempunyai bukti rendah untuk hasil ini. Tidak semua perbandingan yang dibuat mengukur kadar jangkitan berulang, dan bukti sedia ada adalah berdasarkan bukti berkualiti rendah hingga sangat rendah. Tiada kajian yang melaporkan kualiti hidup peserta. Banyak kajian yang mempunyai masalah reka bentuk kajian: seringkali berlaku tiada penjelasan bagaimana mereka menentukan peserta yang mana patut menerima jenis rawatan apa atau bagaimana mereka memastikan peserta tidak sedar tentang rawatan yang ditetapkan. Kebanyakan kajian juga tidak menggunakan plasebo.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Disunting oleh Azlan Husin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information