Apakah faedah dan risiko paracetamol (acetaminophen) untuk duktus arteriosus paten (PDA, saluran darah yang diperlukan untuk kelangsungan hidup janin) pada bayi pramatang dan berat lahir rendah?

Latar belakang

Satu komplikasi yang biasa untuk bayi pramatang atau sangat kecil adalah duktus arteriosus paten (PDA). Peredaran darah ke paru-paru (yang sebelum ini) tidak berfungsi adalah tidak diperlukan sebelum kelahiran. Ini kerana plasenta menghantar oksigen ke bekalan darah janin. PDA adalah saluran darah janin sementara yang menghubungkan arteri pulmonari (saluran yang, selepas kelahiran, mengambil darah tanpa oksigen dari jantung ke paru-paru) ke aorta (saluran yang mengambil darah dengan oksigen, kembali dari paru-paru ke jantung oleh vena pulmonari, jauh dari jantung dan pada awal perjalanannya mengelilingi badan). Dalam erti kata lain, PDA menjadi 'litar pintas' peredaran darah janin melalui paru-paru. Ia adalah perlu untuk mengekalkan kehidupan di dalam rahim, tetapi ia perlu ditutup selepas kelahiran. Kadang-kadang PDA masih terbuka kerana peringkat perkembangan bayi yang belum matang.

PDA pada bayi pramatang dikaitkan dengan komplikasi yang mengancam nyawa. Rawatan yang biasa untuk PDA adalah indomethacin atau ibuprofen, yang menghalang penghasilan prostaglandins dan menggalakkan penutupan PDA. Prostaglandin ialah sebatian kimia yang dibuat di seluruh badan (iaitu bukan dalam mana-mana organ tertentu), terutamanya di mana-mana tisu lembut yang rosak. Pengeluarannya (atau 'sintesis') memainkan peranan penting dalam proses penyembuhan. Prostaglandin dikenali memainkan peranan penting untuk mengekalkan duktus arteriosus terbuka (atau paten), oleh itu, pengurangan penghasilannya akan menggalakkan penutupan duktus arteriosus.

Baru-baru ini, paracetamol (acetaminophen) – ubat yang biasa digunakan untuk merawat demam atau sakit pada bayi, kanak-kanak, dan orang dewasa – telah dicadangkan sebagai alternatif kepada ibuprofen, dengan kemungkinan kurang kesan sampingan. Beberapa kajian klinikal telah mencadangkan bahawa paracetamol mungkin menjadi alternatif untuk penutupan PDA. Cara sebenar parasetamol berfungsi untuk menutup PDA tidak diketahui, tetapi mungkin melibatkan perencatan sintesis prostaglandin.

Apa yang kami ingin tahu?

Seberapa berkesan dan selamat paracetamol, yang mempunyai sifat anti-radang yang lemah, berbanding dengan plasebo (bahan tanpa kesan terapi aktif), atau tiada intervensi, atau ubat anti-radang bukan steroid (indomethacin dan ibuprofen), untuk menutup PDA bayi pramatang atau berat lahir rendah?

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat kesan jangka pendek (faedah dan keselamatan) dan jangka panjang (perkembangan saraf) kesan paracetamol yang digunakan sama ada secara bersendirian atau digabungkan dengan ibuprofen berbanding ibuprofen, indomethacin, plasebo, atau tiada intervensi untuk pencegahan atau rawatan untuk PDA yang ketara pada bayi pramatang atau kecil. Kami mengelaskan rawatan kepada rawatan awal (berumur <14 hari) dan lewat (berumur ≥ 14 hari) rawatan.

Apa yang kami temui?

Kami mengenal pasti 27 kajian yang mendaftarkan 2278 bayi pramatang. Kajian ini membandingkan keberkesanan dan keselamatan paracetamol sahaja atau digabungkan dengan ibuprofen berbanding ibuprofen, indomethacin, plasebo, atau tiada intervensi untuk rawatan pencegahan (profilaksis) atau rawatan PDA. Kami mengenal pasti 24 kajian yang sedang berlangsung mengenai topik ini.

Apabila keputusan kajian yang dimasukkan digabungkan, kami menemui:

- kadar kejayaan paracetamol untuk menutup PDA mungkin lebih tinggi daripada plasebo dan berkemungkinan serupa dengan ibuprofen dan indomethacin;
- paracetamol nampaknya mempunyai sedikit kesan berbahaya pada buah pinggang dan usus;
- dalam dua kajian kecil yang menyusuli kanak-kanak berumur 24 bulan dan lima tahun, terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kecacatan perkembangan saraf antara kanak-kanak yang diberi paracetamol dan mereka yang diberi ubat bukan eksperimen atau plasebo.

Untuk hasil utama penutupan PDA selepas rawatan pertama, kami menemui:

- bukti berkepastian sederhana bahawa mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam keberkesanan antara paracetamol dan ibuprofen;
- bukti berkepastian rendah bahawa mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam keberkesanan antara paracetamol dan indomethacin;
- bukti berkepastian rendah bahawa paracetamol profilaksis mungkin lebih berkesan daripada plasebo/tiada intervensi;
- bukti berkepastian rendah bahawa rawatan paracetamol awal mungkin lebih berkesan daripada plasebo/tiada intervensi;
- bukti berkepastian rendah bahawa mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara rawatan paracetamol lewat dan plasebo,
- bukti berkepastian rendah bahawa mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam keberkesanan antara gabungan ibuprofen ditambah paracetamol dan ibuprofen sahaja.

Kebanyakan bayi yang dimasukkan dalam kajian ini adalah kehamilan pramatang sederhana. Oleh itu, mewujudkan keberkesanan dan keselamatan paracetamol untuk rawatan PDA dalam bayi berusia kandungan sangat rendah (ELGAN: kandungan kurang daripada 28 minggu) atau bayi berat lahir sangat rendah (ELBW: berat lahir kurang daripada 1000 gram) memerlukan kajian lanjut.

Penyedia penjagaan kesihatan tidak selalu 'buta' (tidak tahu ubat yang bayi terima) dalam kajian. Oleh itu, kami menilai kualiti (kepastian) bukti adalah sederhana atau rendah.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini mengemaskini ulasan kami yang terdahulu. Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Foo Sook Lee (RCSI & UCD Malaysia Campus). Dikemaskini. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rsiucd.edu.my

Tools
Information