Monoterapi sulthiame untuk epilepsi 

Latar belakang

Epilepsi adalah keadaan neurologi lazim yang dicirikan oleh sawan berulang. Sulthiame (STM) meluas diguna sebagai ubat antiepileptik di Eropah dan Israel.

Matlamat ulasan

Ulasan ini bertujuan untuk menentukan efikasi dan profil kesan sampingan STM sebagai monoterapi berbanding plasebo atau ubat antiepileptik lain untuk orang dengan epilepsi.

Keputusan

Kami mendapati empat kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta ditempatkan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) melibatkan sejumlah 355 peserta yang melihat keberkesanan dan toleransi sultiame yang diguna sebagai rawatan tunggal dalam epilepsi. Tiga kajian telah dijalankan ke atas epilepsi lazim dalam kalangan kanak-kanak yang dikenali sebagai epilepsi benigna zaman kanak-kanak dengan ‘centrotemporal spikes’ dan satu kajian telah dijalankan ke atas sawan tonik-klonik umum, sejenis sawan yang bermula di kedua-dua belah otak dan menyebabkan kaku atau sentakan di seluruh badan. Berdasarkan bukti sedia ada, kami tidak dapat membuat kesimpulan yang bermakna tentang keberkesanan atau toleransi sultiame sebagai rawatan tunggal dalam epilepsi.

Kualiti bukti

Kualiti bukti adalah terbatas oleh kumpulan bersaiz kecil yang dikaji, risiko bias yang ketara, dan data yang tidak lengkap tentang ukuran hasil penting, serta kekurangan terjemahan bahasa Inggeris bagi manuskrip teks penuh satu kajian.

Kesimpulan

Penyelidikan lanjutan berkualiti tinggi diperlukan untuk menilai sepenuhnya keberkesanan dan toleransi sultiame sebagai rawatan tunggal dalam epilepsi.

Bukti adalah terkini sehingga April 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Joo Howe Ong. Disunting oleh Noorliza Mastura (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information