Supplemen kromium picolinate untuk orang yang kelebihan berat badan atau obes

Soalan ulasan

Adakah suplemen kromium berguna untuk mengurangkan berat badan pada orang dewasa yang berlebihan berat badan atau obes?

Latar belakang

Kromium ialah nutrien penting (unsur surih) yang diperlukan untuk metabolisme karbohidrat, protein dan lemak normal (iaitu tindak balas kimia yang terlibat dalam memecahkan molekul ini kepada bentuk yang sesuai untuk diserap oleh badan). Kromium meningkatkan aktiviti insulin, dan supplemen diet dengan kromium telah menghasilkan peningkatan dalam metabolisme glukosa yang boleh menurunkan glukosa darah yang penting untuk orang yang berlebihan berat dengan diabetes. Umumnya dipercayai bahawa kromium boleh membantu kurang berat badan seseorang dengan mengurangkan jumlah lemak dalam badan. Kromium juga dikatakan dapat menyekat selera makan dan merangsang penjanaan haba oleh badan, sekali gus meningkatkan perbelanjaan tenaga . Ini boleh menyumbang kepada penurunan berat badan. Kromium picolinate ialah salah satu daripada beberapa sebatian kimia kromium yang dijual sebagai suplemen pemakanan sebagai bantuan berpotensi untuk penurunan berat badan.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan sembilan kajian rawak terkawal yang membandingkan keberkesanan dan keselamatan 8 hingga 24 minggu makanan supplemen kromium dan plasebo pada orang dewasa yang berlebihan berat badan atau obes (iaitu dengan indeks jisim badan antara 25 dan 29.9 kg/m 2 mendefinisikan berat badan berlebihan dan indeks jisim badan. sebanyak 30kg/m 2 atau lebih mendefinisikan obesiti). Seramai 622 peserta mengambil bahagian dalam kajian, 346 peserta menerima kromium picolinate dan 276 menerima plasebo. Bukti adalah terkini sehingga Disember 2012.

Keputusan utama

Apabila keputusan yang diperoleh daripada dos kromium picolinate yang disiasat (200 µg, 400 µg, 500 µg, 1000 µg) dikumpulkan, peserta kajian kehilangan sekitar 1 kg berat badan lebih banyak daripada peserta yang menerima plasebo. Kami tidak dapat mencari bukti yang baik bahawa potensi kesan penurunan berat badan ini meningkat dengan peningkatan dos kromium picolinate. Hanya tiga daripada sembilan kajian memberikan maklumat tentang peristiwa buruk , jadi kami tidak dapat menentukan sama ada suplemen kromium picolinate adalah selamat dan sama ada sebarang kemungkinan bahaya boleh meningkat dengan dos. Di samping itu, tempoh kajian disertakan adalah agak pendek (maksimum 24 minggu), jadi kami tidak dapat menentukan sebarang kesan jangka panjang makanan supplemen. Tiada kajian yang melaporkan sama ada suplemen dikaitkan dengan peningkatan kematian daripada apa-apa sebab atau penyakit (seperti serangan jantung atau stroke), atau kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan atau kesan sosioekonomi suplemen.

Kualiti bukti

Kualiti keseluruhan bukti dianggap rendah dan kami mempunyai maklumat yang tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan tentang keberkesanan dan keselamatan makanan supplemen kromium picolinate dalam orang dewasa yang berlebihan berat badan atau obes.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Tools
Information