Tambahan vitamin A ke dalam makanan ruji bagi merawat kekurangan vitamin A

Apakah matlamat ulasan ini?

Kami ingin menyelidik kesan penambahan vitamin A ke dalam makanan ruji yang lazim, dengan atau tanpa mikronutrien yang lain, di dalam populasi kanak-kanak berumur dua tahun ke atas. Makanan ruji yang digunakan dalam program umum penguatan kesihatan telah memasukkan makanan gula tertapis, lemak dan minyak sayur yang boleh dimakan, nasi, tepung gandum, tepung jagung dan jagung, bahan-bahan perasa, dan susu dalam bentuk serbuk atau cecair. Kami mencari semua maklumat yang mungkin bagi menjawab persoalan ini dan menemui 10 kajian yang layak.

Mesej-mesej utama

Penguatan makanan ruji dengan vitamin A bersama mikronutrien lain mungkin meningkatkan kepekatan serum retinol (penunjuk kepada simpanan vitamin A dalam badan) dan mengurangkan risiko kekurangan vitamin A subklinikal (mereka yang tidak mempunyai tanda klinikal bagi buta yang disebabkan oleh kekurangan nutrisi yang dikesan melalui serum retinol/plasma retinol 70 μmol/L atau kurang). Bagaimanapun, penambahan vitamin A sahaja kepada makanan ruji mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas kekurangan vitamin A.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Vitamin A adalah nutrien utama yang penting untuk penglihatan yang baik, pertumbuhan sel, dan sistem imuniti. Ramai penduduk di negara-negara yang berpendapatan rendah dan sederhana mengidap kekurangan vitamin A, terutama kanak-kanak kecil, wanita hamil, dan wanita dalam peringkat umur reproduktif, yang berkemungkinan tidak dapat makanan yang mencukupi untuk menampung pertambahan nutrisi yang diperlukan. Kekkurangan vitamin A dalam jangka masa yang panjang boleh membawa kepada kerosakan penglihatan, buta, jangkitan saluran pernafasan, cirit-birit dan campak.

Terdapat beberapa strategi untuk memerangi kekurangan vitamin A, seperti memberi kapsul vitamin A sebagai diet tambahan, penambahan serbuk vitamin dan mineral ke dalam makanan yang membekalkan tenaga, nasihat supaya mengambil lebih makanan yang kaya dengan vitamin A, dan penambahan makanan ruji dengan vitamin A semasa pemprosesan. Ulasan ini memberi tumpuan ke atas kesan-kesan penambahan vitamin A kepada makanan ruji bagi mengurangkan defisiensi vitamin A dan menambahbaik kesihatan populasi kank-kanak yang berusia dua tahun ke atas.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami menemui 10 kajian yang relevan (melibatkan 4455 peserta) dari China, India, Filipina, Bangladesh, Thailand, dan Mexico. Tiga kajian membekalkan satu kumpulan kanak-kanak dengan makanan ruji yang ditambah dengan vitamin A sahaja, dan kumpulan lain dengan makanan ruji yang sama yang tiada tambahan. Lima kajian membandingkan makanan ruji yang ditambah dengan vitamin A dan vitamin-vitamin dan mineral-mineral lain berbanding makanan ruji yang sama yang tiad atambahan, dan dua kajian membandingkan makanan ruji yang ditambah dengan vitamin A diberi bersama vitamin-vitamin dan mineral-mineral berbanding tiada intervensi.

Tidak ada kajian yang membandingkan makanan ruji yang ditambah dengan vitamin A berbanding tanpa intervensi.

Kajian-kajian telah dibiayai oleh agensi-agensi kerajaan, agensi-agensi swasta, organisasi bukan kerajaan, sektor swasta, dan institusi-institusi pengajian. Punca pembiayaan tidak menampakkan gangguan ke atas keputusan yang diperolehi.

Kesan tambahan vitamin A sahaja kepada makanan ruji ke atas simpanan vitamin A dan ke atas defisiensi vitamin A subklinikal tidak dapat dipastikan. Tidak dapat dipastikan sama ada intervensi ini mengurangkan defisiensi vitamin A klinikal (rabun malam).

Kami mempunyai keyakinan sederhana yang tambahan vitamin A dan mikronutrien lain kepada makanan ruji tidak menambahbaik status vitamin A. Bagaimanapun, kanak-kanak dan remaja di dalam populasi yang berpendapatan rendah dan sederhana yang makan makanan yang ditambah dengan vitamin A dan mikronutrien lain mungkin mempunyai risiko defisiensi vitamin A subklinikal yang lebih rendah berbanding mereka yang menerima makanan ruji yang tiada tambahan.

Kami tidak mengetahui bagaimana tambahan vitamin A mempengaruhi penanda kesihatan yang lain, seperti kadar penyakit dalam populasi, kematian, kesan-kesan yang tidak diingini, pengambilan makanan, kecacatan kelahiran (bagi wanita hamil), atau kepekatan susu badan bagi wanita yang menyusu. Kami menganngap enam dari kajian yang dimasukkan mempunyai kualiti metodologi yang lemah.

Para pengarang ulasan mencari kajian yang diterbitkan sehingga Julai 2018.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noor Salwah S. Omar (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi salwah@usm.my

Tools
Information