Latar belakang
Penyakit kardiovaskular (CVD) merupakan beban kesihatan global. Namun, risiko CVD mungkin boleh dikurangkan dengan menukar beberapa faktor risiko, seperti meningkatkan aktiviti fizikal dan menggunakan relaksasi untuk mengurangkan tekanan, yang mana kedua-duanya adalah komponen yoga. Ulasan ini menilai keberkesanan sebarang jenis yoga dalam kalangan orang dewasa yang sihat dan mereka yang berisiko tinggi menghidap CVD.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari pangkalan data saintifik untuk kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana peserta diagihkan secara rawak kepada salah satu daripada dua atau lebih rawatan) yang menyiasat kesan yoga ke atas orang dewasa berisiko tinggi untuk menghidap CVD. Kami tidak memasukkan orang-orang yang sudah ada CVD (cth: serangan jantung dan strok). Bukti adalah terkini sehingga Disember 2013.
Keputusan utama
Kami mendapati 11 kajian (800 peserta), tiada yang cukup besar atau tempoh yang cukup panjang untuk menilai kesan yoga ke atas pengurangan kematian atau titik akhir bukan-maut. Terdapat variasi dalam gaya dan tempoh yoga dan susulan intervensi adalah dalam lingkungan tiga hingga lapan bulan. Keputusan menunjukkan yoga mempunyai kesan baik ke atas tekanan darah diastolik, kolesterol lipoprotein ketumpatan tinggi (HDL) dan trigliserida (lipid darah), dan kesan tidak pasti ke atas kolesterol lipoprotein ketumpatan rendah (LDL). Tiada kajian yang dimasukkan melaporkan peristiwa buruk, kejadian diabetes jenis 2 atau kos. Kajian jangka lebih panjang, berkualiti tinggi diperlukan untuk menentukan keberkesanan yoga untuk pencegahan CVD.
Kualiti bukti
Keputusan ini harus dianggap sebagai eksploratori dan ditafsirkan dengan berhati-hati. Ini adalah kerana kajian yang dimasukkan mempunyai tempoh yang pendek, kecil dan berisiko bias (di mana terdapatnya risiko untuk mendapat kesimpulan yang salah kerana favouritisme oleh peserta atau para penyelidik).
Diterjemahkan oleh Teoh Ru Jian Jonathan (Penang Medical College). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi jonathanteoh_c2017@ms.pmc.edu.my