Soalan ulasan
Kami mengulas kesan vaksin influenza untuk mencegah otitis media akut (AOM) dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.
Later belakang
Otitis media akut adalah salah satu penyakit berjangkit yang lazim dalam kalangan bayi dan kanak-kanak prasekolah. Gejala-gejala termasuklah sakit telinga dan demam, tetapi ia boleh menyebabkan kehilangan pendengaran kerana gegendang telinga yang pecah atau pengumpulan cecair di telinga tengah. Otitis media akut biasanya disebabkan oleh bakteria dan sering dirawat dengan antibiotik, yang berisiko rintangan antibiotik. Walaupun begitu, AOM sering didahului oleh jangkitan virus, seperti influenza. Mencegah jangkitan virus mungkin menghalang AOM. Oleh itu, kami menyiasat sama ada vaksin influenza dapat mengurangkan kejadian AOM dalam kalangan bayi dan kanak-kanak.
Ciri-ciri kajian
Bukti adalah terkini sehingga 15 Februari 2017. Kami memilih kajian rawak terkawal yang membandingkan vaksin influenza dengan plasebo atau tiada rawatan dalam kalangan bayi dan kanak-kanak berumur kurang daripada enam tahun, dengan atau tanpa episod AOM. Kami memasukkan 11 kajian melibatkan 17,123 kanak-kanak. Sepuluh daripada 11 kajian dibiayai oleh pengeluar vaksin.
Keputusan utama
Kami menemui 4% pengurangan dalam AOM dan lebih kurang 11% pengurangan dalam bilangan preskripsi antibiotik. Tidak terdapat perbezaan dalam jumlah bilangan atau jenis vaksin di antara mereka yang menerima dan yang tidak menerima vaksin. Kesan sampingan vaksin influenza termasuklah peningkatan demam, hidung berair, dan mengantuk. Kami tidak pasti sama ada vaksin influenza mengurangkan bilangan lawatan atau kemasukan ke fasiliti penjagaan kesihatan. Data juga tidak cukup untuk menunjukkan sama ada manfaat ini dapat mengimbangi kesan sampingan vaksin yang lebih serius atau kesan yang jarang-jarang berlaku.
Walaupun kami mendapati pengurangan dalam penggunaan antibiotik, impak ini adalah tidak pasti kerana amalan masa kini ialah mengelakkan penggunaan antibiotik berlebihan. Berganding dengan kebimbangan tentang keselamatan vaksin, penggunaan vaksin influenza untuk mengurangkan AOM belum muktamad dan penyelidikan lanjut diperlukan.
Kualiti bukti
Kualiti keseluruhan bukti adalah rendah ke sederhana.
Diterjemahkan oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi hayatikk@usm.my