Latar belakang
Orang dengan pundi kencing yang terlalu aktif (OAB) mempunyai keinginan yang kerap dan memaksa untuk membuang air kecil, yang mempunyai impak ketara terhadap kualiti hidup. Ramai penghidap OAB juga mengalami inkontinen kencing. OAB menjejaskan kira-kira 17% daripada populasi dunia dan terutamanya biasa berlaku pada orang tua. Rawatan untuk OAB termasuk latihan otot lantai pelvis, terapi ubat dan rangsangan elektrik.
Rangsangan elektrik bukan invasif berfungsi dengan mengalirkan arus elektrik melalui otot pundi kencing, melalui prob faraj atau dubur, atau melalui jarum halus yang dimasukkan ke dalam saraf tibial di sekeliling buku lali. Arus ini bertujuan untuk mengurangkan (menghalang) pengecutan otot detrusor (otot pundi kencing yang memerah air kencing keluar); ini sepatutnya mengurangkan bilangan kekerapan seseorang perlu membuang air kecil. Rangsangan elektrik invasif melibatkan implan elektrod dalam badan dan memerlukan prosedur pembedahan.
Matlamat
Kami menyiasat sama ada rangsangan elektrik adalah lebih baik daripada tiada rawatan sama sekali atau lebih baik daripada sebarang rawatan lain yang tersedia untuk OAB. Kami juga menyiasat jenis rangsangan elektrik yang lebih baik untuk OAB dan sama ada rangsangan elektrik selamat atau tidak.
Keputusan
Kami mengenal pasti 63 kajian (4424 orang semuanya) membandingkan rangsangan elektrik dengan tiada rawatan atau sebarang rawatan lain yang tersedia. Kami mendapati bahawa rangsangan elektrik mungkin lebih baik daripada rangsangan elektrik palsu atau latihan otot lantai pelvik untuk mengurangkan gejala utama OAB.
Rangsangan elektrik mungkin lebih baik daripada tiada rawatan aktif atau rawatan ubat untuk mengurangkan gejala OAB tetapi kami kurang pasti tentang keputusan ini kerana bukti yang ada kurang dipercayai.
Begitu juga, tiada bukti yang mencukupi untuk mengetahui sama ada menambah rangsangan elektrik pada latihan otot lantai pelvik atau rawatan dengan ubat membantu mengurangkan gejala OAB. Kami juga tidak dapat mengetahui jenis rangsangan elektrik yang lebih baik.
Kami tidak menemui maklumat yang mencukupi untuk mengetahui sama ada rangsangan elektrik lebih selamat atau tidak daripada rawatan lain, atau jika satu jenis rangsangan elektrik lebih selamat daripada yang lain.
Banyak kajian yang kami kenal pasti tidak melaporkan sama ada rawatan itu mengurangkan gejala OAB atau tidak atau sama ada terdapat sebarang kesan sampingan yang disebabkan oleh mana-mana rawatan.
Akhir sekali, kami tidak dapat mengetahui daripada bukti sama ada sebarang faedah rangsangan elektrik berterusan selepas rawatan rangsangan elektrik dihentikan.
Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga Disember 2015.
Diterjemahkan oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca Siswazah, IMMB, Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my