Epidura dan spinal adalah teknik-teknik anestetik yang menghalang transmisi stimulus kesakitan daripada kawasan pembedahan ke bahagian otak melalui sekatan pada tahap saraf tunjang. Teknik-teknik anestetik tersebut membenarkan pakar bedah melakukan pembedahan terhadap kawasan bawah abdomen (bawah umbilikus) atau pada kawasan anggota kaki tanpa merasa sakit sementara pesakit kekal sedar. Dalam ulasan Cochrane ini, kami telah meringkaskan kajian rawak terkawal yang relevan dari sembilan ulasan sistematik Cochrane, di mana teknik-teknik anestetik epidura atau spinal telah dibandingkan sebagai cara menggantikan anestesia umum atau digunakan seiring dengan anestetik umum bagi mengurangkan kuantiti narkotik atau penenang otot ketika penggunaan kaedah anestesia umum. Jenis-jenis pembedahan termasuklah pembedahan caesar, membaiki patah tulang pinggul, penggantian tulang pinggul dan sendi lutut dan pembedahan untuk meningkatkan pengaliran darah di kaki.
Apabila teknik epidura dan spinal digunakan bagi menggantikan anestesia umum, risiko bagi kematian ketika pembedahan ataupun dalam lingkungan 30 hari pasca pembedahan adalah berkurangan sebanyak 29% (berdasarkan 20 kajian dengan 3006 orang peserta). Malah, risiko untuk menghidap radang paru-paru (infeksi dibahagian dada) turut berkurangan sebanyak 55% (daripada lima kajian dengan 400 orang peserta). Namun, risiko untuk menghidap infarksi miokardium (serangan jantung) adalah sama untuk kedua-dua teknik anestetik (berdasarkan enam kajian dengan 849 orang peserta).
Apabila teknik epidura (juga termasuk teknik spinal yang lebih jarang) digunakan untuk mengurangkan kuantiti ubat-ubatan lain yang perlu ketika anestesia umum digunakan, risiko kematian ketika pembedahan atau dalam lingkungan 30 hari adalah sama untuk kedua-dua teknik anestesia (berdasarkan 18 kajian dengan 3228 orang peserta). Malah,tiada perbezaan didapati untuk risiko menghidap infarksi miokardium (daripada lapan kajian dengan 1580 orang peserta). Risiko untuk menghidap radang paru-paru adalah berkurangan kira-kira 30% apabila pembetulan dibuat untuk kajian-kajian yang mungkin hilang (daripada sembilan kajian dengan 2433 orang peserta).
Tiada kesan sampingan yang serius (sawan, serangan jantung, kerosakan saraf yang melebihi sebulan atau jangkitan) telah dilaporkan dengan penggunaan teknik epidura atau spinal dalam semua kajian-kajian ini.
Kualiti bukti untuk kesemua enam perbandingan adalah ditakrifkan sebagai sederhana kerana terdapat sedikit ketidaksempurnaan dalam bagaimana kajian-kajian tersebut telah dijalankan. Justeru kajian lanjut adalah perlu untuk memberi impak penting terhadap keyakinan kami terhadap keputusan-keputusan ini dan mugkin akan mengubah keputusan-keputusan ini juga.
.
Diterjemahkan oleh Mohd Syameer Firdaus Mohd Shafiaai (Monash University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.