Heparin berat molekul rendah untuk kesakitan yang disebabkan oleh penyumbatan saluran darah dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit

Soalan ulasan

Kami mengkaji bukti mengenai kesan heparin berat molekul rendah dalam pengurusan krisis vaso-oklusif dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit . Ini merupakan kemaskini versi ulasan yang diterbitkan sebelumnya.

Latar belakang

Penyakit sel sabit merupakan salah satu gangguan darah genetik yang paling biasa dan teruk di dunia. Akibat perubahan dalam gen hemoglobin, sel darah merah diubah menjadi sel dengan bentuk sabit. Sel darah merah yang menjadi bentuk sabit ini mengakibatkan pelbagai komplikasi, di antaranya adalah krisis vaso-oklusif. Dalam krisis vaso-oklusif, sel darah merah yang berbentuk sabit cenderung membeku bersama dan menyekat aliran darah, yang menyebabkan kesakitan pada organ yang terlibat. Rasa sakit tersebut boleh menjadi sangat melemahkan dan sering memerlukan pengambilan ubat morfin. Ubat yang mencegah darah daripada membeku dalam saliran darah mungkin merupakan tambahan yang berguna sebagai pilihan rawatan yang ada untuk krisis vaso-oklusif.

Tarikh pencarian

Bukti adalah terkini sehingga: 28 September 2015.

Ciri-ciri kajian

Ulasan ini merangkumi dua kajian yang berlangsung selama tujuh hari dengan jumlah keseluruhan 287 orang. Satu kajian melibatkan 253 orang (berumur kira-kira 22 tahun) dengan penyakit sel sabit dan membandingkan tinzaparin dengan plasebo peserta adalah dipilih untuk menerima satu rawatan ataupun yang lain secara rawak. Kajian yang satu lagi adalah lebih kecil dengan 34 peserta (berumur kira-kira 27 tahun) dan membandingkan dalteparin dengan plasebo.

Hasil utama kajian

Tinzaparin mengurangkan bilangan hari yang dihabiskan di hospital dan mengurangkan kesakitan (dan intensiti kesakitan) dengan lebih cepat. Dua kejadian pendarahan kecil dilaporkan dalam kumpulan tinzaparin berbanding dengan tiada kejadian tersebut dalam kumpulan plasebo. Data mengenai keberkesanan dalteparin adalah sangat terhad dan hanya menyertakan intensiti kesakitan, yang lebih banyak dikurangkan dengan rawatan dalteparin berbanding dengan plasebo. Data-data tersebut tidak mencukupi untuk menyokong kesimpulan bahawa heparin berat molekul rendah adalah berkesan dalam rawatan krisis vaso-oklusif dalam kalangan orang dengan penyakit sel sabit. Kajian tambahan dengan pelbagai jenis heparin berat molekul rendah yang digunakan dalam pelbagai bentuk penyakit sel sabit, adalah perlu untuk mengesahkan atau menolak hasil kajian tunggal ini. Krisis vaso-oklusif boleh menjadi sangat melemahkan dan boleh memberi kesan yang besar ke atas kualiti hidup; Oleh itu, ia adalah penting untuk mengetahui sama ada heparin berat molekul rendah mampu berfungsi sebagai pilihan rawatan yang berguna dengan sedikit kesan sampingan atau tidak.

Kualiti bukti kajian

Kualiti bukti untuk sebahagian besar hasil kajian adalah sangat rendah, ini terutamanya berkaitan dengan risiko ketidaktelusan kajian (misalnya kaedah pembutaan yang tidak jelas) atau dengan saiz sampel kajian yang kecil.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Khoo Jing Hern (Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah bin Che Hamzah (USMKK) . Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information