Latar belakang: Mikromanipulasi sperma, seperti suntikan sperma intrasitoplasma (ICSI), sangat berguna untuk merawat pasangan di mana teman lelaki mempunyai kurang kepekatan sperma, pergerakan, atau kedua-duanya. Dalam dekad yang lalu, pendekatan yang berbeza untuk pemilihan sperma telah dijelaskan, yang menganalisis sperma di bawah pembesaran kuasa ultra-tinggi (6000x). Kajian awal menunjukkan bahawa suntikan sperma morfolologi terpilih intrasitoplasma (IMSI), menggunakan sperma yang dipilih di bawah pembesaran yang tinggi, dikaitkan dengan kadar kehamilan yang lebih tinggi berbanding yang dipilih dengan ICSI konvensional dalam pasangan dengan kegagalan implantasi berulang. Walau bagaimanapun, bukti daripada ulasan semula kami yang terdahulu tidak pasti mengenai kesan sebenar intervensi ini.
Tarikh carian: Kami mengemas kini carian kesusasteraan perubatan pada bulan November 2019, mencari kajian yang menilai keberkesanan dan keselamatan prosedur IMSI (menggunakan pembesaran 6000x) berbanding ICSI konvensional (menggunakan pembesaran 200x hingga 400x).
Ciri-ciri kajian: Kami mendapati 13 kajian rawak terkawal (lebih empat daripada versi sebelumnya), menilai 2775 pasangan, yang membandingkan pemilihan sperma biasa (ICSI) dengan pembesaran ultra-tinggi (IMSI) untuk reproduksi bantuan. Kajian ini dibiayai oleh pusat kesuburan dan universiti.
Keputusan-keputusan utama: Berdasarkan bukti berkualiti rendah yang kami dapati, kami tidak pasti manfaat daripada IMSI dan ICSI. Peluang mempunyai kelahiran hidup dengan IMSI adalah antara 20% dan 32%, berbanding 25% dengan ICSI. Bagi wanita dengan risiko 7% keguguran dengan ICSI biasa, risiko dengan IMSI adalah antara 5% dan 10%. Kadar kehamilan klinikal dengan IMSI adalah antara 35% dan 44%, berbanding 32% dengan ICSI.
Kualiti bukti: Kami telah menurunkan kualiti bukti kerana keterbatasan dalam kajian terlibat (risiko bias), ketidakselarasan kesan yang diperhatikan merentasi kajian, dan risiko bias penerbitan yang tinggi. Tiada bukti mengenai keabnormalan kongenital. Kami menyimpulkan bahawa bukti semasa adalah sangat terhad untuk mencadangkan penggunaan IMSI dan bukannya ICSI dalam amalan klinikal.
Diterjemahkan oleh Adam Linoby (Universiti Teknologi MARA). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila cochrane@rcsiucd.edu.my