Kanula hidung aliran tinggi untuk sokongan pernafasan dalam kalangan pesakit rawatan rapi dewasa

Soalan ulasan

Adakah kanula hidung aliran tinggi (HFNC) merupakan pilihan rawatan yang membantu pesakit dewasa di unit rawatan rapi (ICU) yang memerlukan sokongan pernafasan?

Latar belakang

Orang di ICU mungkin memerlukan sokongan untuk bernafas dan HFNC adalah salah satu pilihan untuk hal ini. HFNC memberikan udara dan oksigen yang suam melalui tiub plastik kecil yang berada di dalam lubang hidung. Aliran udara adalah pada kadar yang lebih tinggi setiap minit daripada terapi oksigen piawai (yang tidak selalu disuamkan dan boleh dihantar melalui topeng muka plastik atau kanula hidung). Pilihan sokongan lain termasuk pengudaraan tidak invasif (NIV) atau pengudaraan tekanan positif tidak invasif (NIPPV). Pendekatan ini menggunakan tekanan ringan untuk mendorong udara ke paru-paru melalui topeng muka yang ketat atau topi keledar yang menutupi seluruh kepala. Ventilasi mekanikal invasif memberikan tahap sokongan tertinggi, menggunakan ventilator (mesin pernafasan buatan) untuk mendorong udara masuk dan keluar dari paru-paru melalui tiub plastik yang dimasukkan ke dalam saluran udara.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga April 2020.

Ciri-ciri kajian

Semua peserta adalah orang dewasa (16 tahun atau lebih) yang memerlukan sokongan untuk bernafas di ICU. Kebanyakan peserta mengalami kegagalan pernafasan (di mana paru-paru tidak mendapatkan cukup oksigen ke dalam darah) atau baru saja dikeluarkan dari ventilator dan memerlukan sokongan untuk beralih ke pernafasan kendiri.

Kami mencari kajian terkawal rawak; kajian ini memberi peluang yang sama kepada peserta untuk berada dalam mana-mana kumpulan kajian dan memberikan bukti terbaik. Kami menyertakan kajian yang membandingkan HFNC dengan terapi oksigen piawai atau NIV atau NIPPV. Kami memasukkan 31 kajian dengan 5136 peserta, 51 kajian masih berjalan dan 19 kajian menunggu untuk dikelaskan. Empat belas kajian dibiayai oleh pengeluar alat pernafasan.

Keputusan utama

HFNC berbanding terapi oksigen piawai

Kami menemui bahawa menggunakan HFNC dapat mengurangkan keperluan pesakit untuk berubah kepada jenis sokongan pernafasan yang lain (kegagalan rawatan). Kami tidak menemui bukti tentang perbezaan antara dua intervensi untuk: kematian di hospital, tempoh tinggal di ICU, radang paru-paru (jangkitan paru-paru), kerosakan kulit yang disebabkan oleh tiub atau topeng yang bersentuhan dengan wajah, keselesaan semasa pesakit mendapat sokongan pernafasan, atau seberapa baik rawatan memberikan oksigen ke darah.

HFNC berbanding NIV atau NIPPV

Kami tidak menemui bukti tentang perbezaan dalam kegagalan rawatan antara menggunakan HFNC dan NIV atau NIPPV. Kami juga tidak menemui bukti tentang perbezaan bagi kematian di hospital, tempoh tinggal di ICU, radang paru-paru, atau barotrauma (kerosakan pada badan disebabkan oleh perbezaan tekanan di dalam dan di luar badan). NIV atau NIPPV dapat meningkatkan seberapa baik oksigen masuk ke dalam darah. Kami tidak pasti adakah HFNC lebih selesa bagi pesakit dalam 24 jam pertama penggunaan. Tidak ada kajian yang melaporkan kerosakan kulit.

Kualiti bukti

Kami menggunakan skala penilaian untuk menentukan kualiti bukti dalam kajian ini. Apabila kami menilai bukti sebagai berkepastian yang sangat rendah, ini bermaksud bahawa kami sangat tidak pasti tentang kebolehpercayaan keputusannya. Berkepastian tinggi bermaksud bahawa kami sangat yakin dengan keputusannya.

Kami tidak selalu mempunyai bukti dari cukup kajian untuk memberikan kami keyakinan terhadap keputusan utama. Kadang kala penemuan kami berubah sekiranya kami membuang kajian yang kurang baik dilaporkan (misalnya mengenai bagaimana peserta diperuntukkan untuk menjalani rawatan). Kami juga menemui beberapa variasi antara keputusan kajian untuk beberapa hasil. Kami cukup yakin dalam penemuan kami bahawa HFNC tidak mempengaruhi kematian di hospital dan radang paru-paru jika dibandingkan dengan terapi oksigen piawai, tetapi untuk semua hasil lain, kami menilai bukti tersebut adalah berkepastian rendah atau sangat rendah. Ini bererti bahawa keyakinan kami terhadap keputusan ini adalah terhad atau sangat terhad, dan kesan sebenarnya mungkin sangat berbeza.

Kesimpulan

HFNC boleh menyebabkan kurang kegagalan rawatan jika dibandingkan dengan terapi oksigen piawai, tetapi mungkin membuat sedikit atau tidak ada perbezaan jika dibandingkan dengan NIV atau NIPPV. Untuk kebanyakan hasil ulasan yang lain, kami tidak menemui bukti yang boleh dipercayai mengenai perbezaan dalam kesan. Walau bagaimanapun, kami mengenal pasti 51 kajian yang sedang dijalankan dan kami merancang untuk memasukkannya dalam kemas kini ulasan pada masa akan datang. Apabila kajian-kajian ini digabungkan, kami mungkin akan membuat kesimpulan yang berbeza mengenai sama ada HFNC membantu untuk menyokong pernafasan dalam pesakit ICU dewasa.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information