Apakah ujian paling tepat untuk mengesan kanser mulut atau bibir (kanser oral) dan keadaan yang menjurus kepada kanser oral?

Mesej utama

- Masih kurang bukti kepastian tinggi untuk menyokong penggunaan ujian saringan kanser mulut dan keadaan yang menyebabkan kanser mulut dalam populasi umum.
- Pengamal pergigian am dan profesional penjagaan kesihatan harus berwaspada tanda-tanda gangguan mulut yang berpotensi malignan (OPMD) dan malignansi semasa membuat pemeriksaan oral rutin dalam amalan untuk lesi/keadaan oral lain.

Pengesanan kanser oral

Kanser mulut (kanser oral) adalah satu keadaan serius dan hanya separuh yang berpenyakit tersebut dapat bertahan untuk lima tahun atau lebih. Ini kerana ia sering dikesan lewat. Pengesanan awal apabila kanser oral adalah kecil atau sebagai keadaan atau lesi 'sebelumnya' (yang boleh menjadi kanser) boleh memudahkan rawatan dan memberi hasil yang lebih baik. Oleh itu, adalah penting untuk memahami kebaikan pelbagai ujian untuk mengesan kanser oral di peringkat awal dan lesi-lesi yang mendahuluinya.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui ketepatan pelbagai ujian saringan kanser mulut dan keadaan-keadaan yang boleh membawa kepada kanser mulut.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang melaporkan ketepatan pelbagai ujian saringan dalam mengesan kanser mulut atau OPMD semasa prosedur saringan. Diagnosis kanser mulut atau OPMD diberi oleh doktor pakar atau pakar patologi, atau secara alternatif melalui susulan. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami temui?

Kami menyertakan 18 kajian melibatkan 72,202 peserta, yang diterbitkan antara Oktober 1986 hingga 2019. Kajian-kajian ini menilai pemeriksaan oral konvensional (COE) atau pemeriksaan visual (10 kajian), pemeriksaan mulut kendiri (empat kajian), dan saringan jarak jauh (tiga kajian). Satu kajian rawak terkawal membandingkan ketepatan ujian dengan pemeriksaan mulut konvensional dan berkumur dengan pemeriksaan mulut konvensional sahaja.

Tiada kajian yang menilai ketepatan ujian darah atau air liur.

Terdapat variasi besar dalam kalangan peserta yang direkrut, persekitaran, prevalen kanser mulut atau OPMD, dan bagaimana pelbagai ujian dijalankan, oleh itu kami tidak dapat mengumpulkan data.

- Kebanyakan kajian menilai ketepatan pelbagai COE (10 kajian, 25,568 peserta). Prevalen kanser mulut atau OPMD dalam kajian-kajian tersebut adalah antara 1% hingga 51%. Untuk tujuh kajian COE dengan prevalens 10% atau kurang, prevalens yang sebanding dengan populasi umum, anggaran sensitiviti (perkadaran positif benar) adalah antara 0.50 hingga 0.99 dengan anggaran spesifisiti (perkadaran negatif benar) dari 0.94 hingga 0.99 .

- Bukti untuk pemeriksaan mulut kendiri (4 kajian, 35,059 peserta) dan pemeriksaan jarak jauh (3 kajian, 3600 peserta) adalah lebih terhad.

Apakah batasan bukti tersebut?

Kami menilai kepastian keseluruhan bukti untuk COE adalah rendah dan diturunkan gred untuk variasi merentasi kajian-kajian dan kebolehgunaan sampel kajian. Kami menilai kepastian keseluruhan bukti untuk pemeriksaan mulut kendiri dan saringan jarak jauh adalah sangat rendah, dan diturunkan gred untuk variasi merentasi kajian-kajian, kebolehgunaan sampel kajian dan anggaran ketepatan yang tidak tepat.

Adakah bukti ini mutakhir?

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College) Untuk Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan suntingan ini,sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information