Penjagaan sebelum kehamilan yang seterusnya untuk wanita yang mempunyai diabetes gestasi

Apakah isunya?

Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk melihat kesan khusus, penjagaan sasaran yang diberikan kepada ibu yang mempunyai sekurang-kurangnya satu kehamilan yang menghidapi diabetes gestasi. Adakah penjagaan seperti ini meningkatkan kesihatan ibu dan bayinya, semasa dan selepas kehamilannya yang seterusnya? Penyelidik mengumpul dan menganalisa semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini (Tarikh carian: April 2017).

Mengapakah ini penting?

Diabetes gestasi (GDM) adalah intoleransi terhadap gula yang terjadi semasa mengandung. GDM boleh menyebabkan komplikasi kesihatan untuk ibu. Komplikasi ini mungkin termasuk tekanan darah tinggi semasa mengandung dan pada kelahiran, pra-eklampsia (tekanan darah tinggi ditambah protein dalam air kencing), dan perkembangan penyakit kencing manis jenis 2 pada masa akan datang. Kelahiran tersebut adalah lebih cenderung diinduksi. Bayi ibu yang menghidapi GDM adalah lebih cenderung untuk dilahirkan melalui pembedahan caesarean, dan untuk mendapat diabetes dalam kanak-kanak atau orang dewasa muda. Wanita yang mengalami GDM adalah berisiko untuk mendapatkannya semula dalam kehamilan yang berikutnya.

Sekiranya penjagaan yang disasarkan antara kelahiran seorang kanak-kanak dan kehamilan yang akan datang –yang dikenali sebagai penjagaan antara kehamilan– mengurangkan kejadian GDM, maka risiko kesihatan ini dapat dikurangkan juga.

Penjagaan antara kehamilan mungkin termasuk pendidikan, nasihat diet dan gaya hidup, intervensi dengan ubat-ubatan dan pemantauan kesihatan ibu yang teliti, yang memberi tumpuan kepada ujian untuk toleransi gula.

Apakah bukit yang penyelidik perolehi?

Penyelidik mencari ujian yang melihat kepada hasil kesihatan untuk wanita dan bayi selepas penjagaan antara kehamilan yang khusus, dan membandingkan hasil untuk penjagaan piawai (tanpa penjagaan interconception jenis ini). Carian penyelidik mengenalpasti satu kajian yang belum mengeluarkan satu set keputusan penuh, ditambah dua kajian lanjut; salah satu daripada ini masih dijalankan dan yang lain masih belum diterbitkan.

Apakah maksudnya?

Oleh kerana tidak ada kajian yang ada sekarang, tidak ada bukti yang cukup pada masa ini untuk mengatakan jika penjagaan antara kehamilan bagi wanita dengan sejarah GDM dapat membantu meningkatkan kesihatan ibu dan bayi mereka. Lebih banyak kajian berkualiti tinggi diperlukan, yang menilai hasil kesihatan jangka pendek dan jangka panjang untuk wanita dan bayi mereka, serta menilai kesan terhadap perkhidmatan kesihatan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi Wong.ChunHoong@student.imu.edu.my.

Tools
Information