Laser untuk pembuangan kerosakan gigi pertama dan gigi kekal

Soalan ulasan

Ulasan ini membincangkan isu sama ada terdapat kelebihan pengunaan terapi laser untuk merawat bahagian gigi yang rosak dan sakit berbanding dengan kaedah tradisional iaitu penggerudian di kalangan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa.

Latarbelakang

Kerosakan gigi membentuk kaviti pada gigi akibat pemusnahan tisu gigi oleh bakteria dalam keadaan tertentu, termasuklah kebersihan oral yang teruk dan pengambilan gula secara berlebihan. Gejalanya termasuklah sakit dan kesukaran untuk makan, dan komplikasi yang mungkin berlaku adalah kehilangan gigi, jangkitan atau keradangan gusi. Secara tradisional, alat gerudi digunakan untuk membuang sebarang kerosakan pada gigi. Namun, alat mekanikal ini mungkin menyebabkan kesan sampingan luar jangkaan seperti pembuangan kerosakan secara berlebihan ataupun berkurangan, ditambah pula dengan ketidakselesaan akibat kesakitan, bunyi bising dan rasa getaran. Terapi laser merupakan potensi alternatif kepada penggerudian mekanikal.

Ciri kajian

Kesihatan Oral Cochrane menyediakan strategi pencarian dan menjalankan carian di beberapa pangkalan data elektronik. Kami memilih sembilan kajian rawak terkawal yang dijalankan di antara 1998 dan 2014 untuk dimasukkan dalam ulasan ini.Bukti ulasan ini adalah terkini sehingga 22 Jun 2016.Kajian-kajian tersebut melibatkan 662 jumlah peserta dan 1498 gigi yang dirawat.Terdapat tiga kajian yang dijalankan di AS, satu di Taiwan, satu di Cina, satu di Bulgaria, satu di Jerman, satu di Turki dan satu lagi di UK. Populasi yang terlibat termasuklah kanak-kanak dan remaja (dalam empat buah kajian), orang dewasa (dalam empat kajian) dan kedua-dua golongan kanak-kanak dan dewasa (dalam satu lagi kajian).

Keputusan utama

Walaupun bilangan kajian agak tinggi, hanya sebilangan kecil kajian sahaja dapat memberi maklumat yang cukup dan lengkap tentang hasil utama. Dua buah kajian melaporkan kerosakan gigi berjaya ditangani namun tidak terdapat bukti yang cukup untuk merumuskan sama ada laser atau penggerudian adalah lebih baik untuk menangani kerosakan gigi.Hanya lima kajian melaporkan episod kesakitan yang dapat dikurangkan secara signifikan di kalangan peserta yang dirawat dengan laser.Tidak terdapat perbezaan dari segi kesan sampingan seperti keradangan atau kematian pulpa gigi di antara ke dua-dua jenis intervensi.

Kualiti bukti

Secara keseluruhan, bukti kualiti dari sembilan kajian tersebut adalah rendah.Hanya satu kajian yang meletakkan peserta secara rawak manakala tiada kajian yang berisiko bias rendah. Ulasan ini menerangkan akan perlunya kajian berkualiti tinggi untuk membandingkan terapi laser dengan penggerudian mekanikal dalam merawat kerosakan gigi.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Noorliza Mastura Ismail (Melaka-Manipal Medical College). Disunting oleh Gan Siew Hua (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi noorliza.mastura@manipal.edu.my

Tools
Information