Latar belakang
Bagi kebanyakan wanita dengan epilepsi, penting bagi kesihatan mereka agar meneruskan ubat semasa hamil. Sejak 25 tahun penyelidikan menunjukkan kanak-kanak yang terdedah kepada ubat-ubatan ini di dalam rahim berisiko lebih tinggi cacat lahir atau tahap perkembangan yang lebih buruk.
Soalan penyelidikan
Ulasan ini bertujuan untuk memahami sama ada pendedahan kepada ubat-ubatan antiepileptik (AED) semasa hamil dikaitkan dengan tahap kemampuan kemahiran lebih rendah seperti IQ, bahasa dan memori (perkembangan saraf).
Ciri-ciri kajian
Ulasan ini memasukkan 28 kajian. Peserta adalah wanita dengan epilepsi yang mengambil AED biasa yang dibandingkan dengan wanita tanpa epilepsi atau wanita dengan epilepsi tetapi yang tidak dirawat dengan AED. Perbandingan juga dibuat antara anak-anak yang terdedah kepada pelbagai AED dalam rahim. Bukti yang dikemukakan dalam ulasan ini adalah terkini hingga Mei 2014.
Keputusan
- Bukti untuk kanak-kanak yang terdedah kepada karbamazepina (CBZ) dalam rahim adalah bercanggah, walau bagaimanapun ini mungkin disebabkan oleh perbezaan cara kajian ini dijalankan. Dalam kalangan kanak-kanak yang lebih berusia yang terdedah kepada CBZ, IQ tidaklah lebih rendah daripada kanak-kanak yang tidak terdedah. Tiada kaitan antara dos CBZ dan kemampuan anak.
- Kedua-dua kanak-kanak yang lebih muda dan lebih berusia yang terdedah kepada sodium valproate (VPA) dalam rahim menunjukkan perkembangan kognitif yang lebih rendah berbanding dengan kanak-kanak yang tidak terdedah dan kanak-kanak yang terdedah kepada AED lain. Hubungan antara dos VPA dan kemampuan anak ditemui dalam enam kajian; dengan dos ubat yang lebih tinggi dikaitkan dengan kemampuan IQ anak yang lebih rendah. Tahap perbezaan ini cenderung meningkatkan risiko tahap pendidikan yang lebih buruk.
- Kanak-kanak yang terdedah kepada CBZ dalam rahim tidak berbeza dalam kemahiran berbanding kanak-kanak yang terdedah kepada lamotrigine (LTG), walau bagaimanapun sangat sedikit kajian yang menyelidik hal ini. Tiada perbezaan antara kanak-kanak yang terdedah kepada fenitoin (PHT) dalam rahim dengan mereka yang terdedah kepada CBZ atau mereka yang terdedah kepada LTG.
- Terdapat data yang sangat terhad tentang ubat baru seperti LTG, levetiracetam atau topiramate.
Kualiti kajian-kajian
Kualiti bagaimana kajian direka bentuk adalah berbeza-beza. Kajian yang terbaharu selesai cenderung mempunyai penilaian kualiti lebih tinggi, yang menunjukkan bukti lebih bolehpercaya.
Kesimpulannya
Ulasan ini mendapati kanak-kanak yang terdedah kepada VPA dalam rahim lebih berisiko skor perkembangan saraf yang lebih buruk pada masa bayi dan ketika usia sekolah. Majoriti bukti menunjukkan pendedahan CBZ dalam rahim tidak dikaitkan dengan perkembangan saraf yang lebih buruk. Taiad data untuk semua AED yang sedang diguna atau untuk semua aspek perkembangan saraf kanak-kanak. Ini bermakna membuat keputusan untuk wanita dan doktor mereka adalah sukar. Penyelidikan lanjut diperlukan agar peaskit wanita dan doktor mereka dapat membuat keputusan berdasarkan bukti penyelidikan tentang ubat mana yang tepat untuk tempoh melahirkan anak.
Diterjemah oleh Mastura Abd Malek (Pelajar Pasca-Siswazah Fakulti Perubatan, UiTM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my