Histerektomi dengan pengurusan perubatan untuk kanser serviks yang telah merebak ke tisu-tisu yang berdekatan sahaja

Isunya

Kanser pangkal rahim (kanser serviks) adalah kanser yang paling biasa di kalangan wanita sehingga umur 65 tahun. Sebilangan besar wanita di negara miskin didiagnosis dengan kanser serviks lanjut setempat (yang telah merebak ke tisu-tisu yang berdekatan, tetapi tiada penyerebakkan jauh yang jelas). Mereka biasanya dirawat dengan radioterapi, dengan atau tanpa kemoterapi (rawatan perubatan). Histerektomi (pembedahan untuk membuang rahim dan serviks) dengan rawatan perubatan juga digunakan, terutamanya di negara miskin di mana akses kepada radioterapi adalah terhad.

Matlamat ulasan

Adakah histerektomi dengan rawatan perubatan lebih berfaedah berbanding rawatan perubatan sahaja pada wanita yang menghidapi kanser serviks lanjut setempat?

Bagaimanakah kami menjalankan ulasan ini?

A carian literatur dari 1966 hingga Februari 2022 mengenalpasti sebanyak 11 kajian klinikal dengan risiko bias yang sederhana hingga tinggi. Ini termasuk 2683 wanita dan membandingkan: histerektomi dengan radioterapi berbanding radioterapi sahaja; histerektomi dengan kemoradioterapi (kemoterapi dengan radioterapi) berbanding kemoradioterapi sahaja; histerektomi dengan kemoradioterapi berbanding radioterapi dalaman (brachytherapy) dengan kemoradioterapi; dan histerektomi didahului dengan kemoterapi (neoadjuvant, untuk mengurangkan saiz kanser) berbanding radioterapi sahaja. Kami juga mengenalpasti tiga kajian yang sedang dijalankan.

Apakah penemuan utama?

Histerektomi (mudah (rahim dan serviks) atau radikal (rahim, serviks dan tisu sekeliling)) dengan kemoterapi neoadjuvant berbanding radioterapi sahaja

Dengan menggabungkan keputusan daripada tiga kajian yang menilai 571 orang wanita, kami mendapati bahawa lebih sedikit wanita yang menerima kemoterapi neoadjuvant dengan histerektomi meninggal dunia berbanding mereka yang menerima radioterapi sahaja. Walau bagaimanapun, ramai wanita dalam kumpulan pertama juga menjalani radioterapi. Tiada perbezaan dalam bilangan wanita yang bebas penyakit selepas rawatan.

Histerektomi (radikal) dengan kemoterapi neoadjuvant berbanding kemoradioterapi sahaja

Kami menggabungkan keputusan daripada dua kajian yang menilai 1253 orang wanita. Kami mendapati tiada perbezaan dalam risiko kematian antara wanita yang menerima histerektomi dengan kemoterapi neoadjuvant dengan mereka yang menerima kemoradioterapi sahaja.

Kesan sampingan tidak dilaporkan dengan baik. Keputusan kajiaan yang tunggal menunjukkan tiada perbezaan dalam kesan sampingan yang teruk antara kumpulan dalam sebarang perbandingan. Data terhad mencadangkan bahawa intervensi-intervensi kelihatan diterima dengan baik, walaupun lebih banyak bukti diperlukan.

Kajian tidak melaporkan bagaimana kualiti hidup wanita terjejas.

Apakah kesimpulannya?

Kami mendapati bukti adalah tidak mencukupi bagi histerektomi ditambah kepada radioterapi dan kemoradiasi meningkatkan kelangsungan hidup, kualiti hidup atau kesan sampingan pada wanita dengan kanser serviks lanjut setempat berbanding dengan rawatan perubatan sahaja. Secara keseluruhan, kualiti bukti adalah berubah-ubah dan kami mempunyai kebimbangan tentang risiko bias. Lebih banyak kajian yang menilai pengurusan perubatan dengan dan tanpa histerektomi mungkin menguji keteguhan penemuan ulasan ini. Data lanjut daripada percubaan yang dirancang dengan teliti yang menilai pengurusan perubatan dengan dan tanpa histerektomi berkemungkinan memberi kesan terhadap sejauh mana keyakinan kami tentang penemuan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information