Soalan ulasan
Kami mengulas bukti tentang keselamatan dan keberkesanan dexmedetomidine dan clonidine (dikenali sebagai agonis alpha-2) untuk sedasi jangka panjang semasa ventilasi mekanikal pada pesakit kritikal di unit rawatan rapi (ICU).
Latar belakang
Sedasi adalah rawatan penting untuk pesakit kritikal yang memerlukan mesin untuk menyokong pernafasan, kerana ia mengurangkan keresahan dan stres serta memudahkan penyampaian penjagaan kejururawatan. Walau bagaimanapun, beberapa ubat sedasi yang biasa digunakan, seperti propofol, midazolam dan lorazepam, mungkin menurunkan tekanan darah, menekan pernafasan, dan melambatkan penyedaran selepas infusi jangka panjang. Mereka mungkin memanjangkan masa sokongan pernafasan dan tempoh tinggal di hospital. Dexmedetomidine dan clonidine menenangkan tetapi membolehkan kakitangan berinteraksi dengan pesakit, dan mereka mengurangkan kesakitan tetapi tidak menekan pernafasan. Mereka yang dirawat mungkin lebih mudah tersedar, dan lebih mampu untuk menyatakan ketidakselesaan dan kesakitan mereka. Oleh itu, ubat-ubatan ini adalah alternatif yang menarik untuk sedasi jangka panjang, dan kami merancang untuk menilai keberkesanan dan keselamatan mereka untuk sedasi jangka panjang (lebih daripada 24 jam), berbanding dengan sedasi tradisional.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari pangkalan data sehingga Oktober 2014. Kami memasukkan tujuh kajian rawak terkawal, dengan sejumlah 1624 peserta, membandingkan dexmedetomidine dengan sedatif tradisional. Semua kajian memerlukan peserta mempunyai satu jangkaan untuk sedasi lebih daripada 24 jam. Sedatif alternatif termasuk propofol, midazolam dan lorazepam. Kami mendapati tiada kajian yang layak pada kanak-kanak atau untuk clonidine. Daripada tujuh kajian, enam dibiayai oleh pengeluar ubat, dan satu tidak menyatakan sebarang konflik kepentingan.
Keputusan utama
Berbanding dengan sedatif tradisional, dexmedetomidine mengurangkan masa sokongan pernafasan kira-kira satu perlima, dan tempoh masa tinggal di ICU sebanyak satu pertujuh. Dexmedetomidine sekurang-kurangnya sama berkesan dengan sedatif tradisional untuk menghasilkan sedasi dan mengekalkan tahap sedasi ringan. Tiada bukti jelas yang menyokong dexmedetomidine mengurangkan risiko delirium (sejenis keadaan kekeliruan akut), kerana keputusan adalah konsisten dengan kedua-duanya tiada kesan dan faedah yang ketara. Kami tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk membuat kesimpulan tentang pengurangan risiko koma. Dexmedetomidine menggandakan kejadian degupan jantung perlahan, yang merupakan kejadian buruk yang paling kerap dilaporkan. Ulasan kami tidak memberikan bukti bahawa dexmedetomidine mengubah kadar kematian keseluruhan.
Kualiti bukti
Kualiti umum bukti adalah daripada sangat rendah ke rendah, kerana kebanyakan kajian berisiko tinggi berat sebelah, ketidakkonsistenan dan ketidaktepatan yang serius, atau berat sebelah penerbitan yang sangat disyaki.
Diterjemah oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my