Soalan Ulasan
Doktor boleh menggunakan analgesia bahagian (suntikan anestetik tempatan berhampiran dengan saraf atau tempat pembedahan) berbanding kawalan kesakitan konvensional selepas pembedahan. Adakah pilihan ini memperbaiki fungsi jangka panjang selepas penggantian eleftif sendi utama (lutut, bahu dan pinggul)? Kami melakukan ulasan sistematik ini untuk meneroka kontroversi mengenai penggunaan analgesia bahagian di antara usaha untuk mengehadkan kos penjagaan kesihatan dan menunjukkan nilai untuk intervensi.
Latar belakang
Orang melalui penggantian sendi lutut, bahu dan pinggul untuk memperbaiki pergerakan, kesakitan dan fungsi mereka. Anestetik tempatan disuntik berdekatan dengan saraf atau tempat pembedahan untuk mengurangkan kesakitan selepas pembedahan. Analgesia bahagian menunjukkan hasil pembedahan yang lebih baik (julat pergerakan sendi, kekuatan, kemampuan untuk berjalan, naik tangga, dan lain-lain lagi) dalam hari-hari sejurus selepas pembedahan. Adalah tidak jelas sama ada kesan ini berlanjutan melebihi tiga bulan.
Ciri-ciri kajian
Kami melakukan pencarian dalam pangkalan data elektronik dan abstrak untuk kajian yang berkaitan. Carian terakhir telah dikemaskini pada Jun 2015. Kami menemui enam kajian, dengan 350 orang peserta dibuat susulan sekurang-kurangnya tiga bulan. Kesemua kajian ini mendaftarkan peserta yang menjalani penggantian lutut.
Hasil-hasil utama
Oleh sebab kajian tidak melaporkan hasil yang sama, adalah sukar untuk mengumpulkan hasilnya. Kami hanya dapat mengumpulkan tiga daripada enam kajian terkawal rawak yang mengkaji anestesia bahagian untuk fungsi yang lebih baik selepas penggantian lutut secara keseluruhan. Pengumpulan data daripada 140 orang peserta, dengan julat pergerakan sendi dinilai pada bulan ketiga setelah pembedahan, tiada perbezaan yang signifikan secara statistiknya antara penggunaan analgesia bahagian dan kawalan kesakitan konvensional dengan ubatan intravena.
Tiada kajian yang dirangkumkan yang meneliti kesan sampingan jangka panjang seperti kerosakan saraf yang berterusan.
Kualiti bukti
Kami menganggap kualiti bukti adalah sangat rendah, memandangkan kajian yang disertakan tidak dianggap berkaliber tinggi dan melibatkan sedikit peserta.
Kesimpulan
Kami tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk menentukan sama ada anestesia bahagian memperbaiki fungsi selepas penggantian sendi utama ataupun tidak. Kami memerlukan kajian klinikal yang lebih banyak dan lebih baik untuk memutuskan sama ada terdapat kesan analgesia bahagian terhadap hasil pembedahan selepas pembedahan penggantian bahu, pinggul atau lutut. Kami memerlukan lebih banyak penyelidikan untuk memahami jika analgesia bahagian meningkatkan risiko jatuh selepas penggantian sendi.
Diterjemah oleh Wendy Yeo Wai Yeng (Perdana University, Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my