Perencat aromatase (letrozole) untuk rawatan masalah kesuburan bagi wanita dengan sindrom ovari polisistik (PCOS)

Soalan ulasan: Para penulis Cochrane telah memeriksa bukti tentang perencat aromatasae untuk wanita yang tidak subur dengan sindrom ovari polisistik (PCOS).

Latar belakang: PCOS merupakan sebab utama jarang atau tiada haid, dan dialami oleh 5% hingga 20% wanita sedunia. Ia sering menyebabkan ketidaksuburan anovulasi (ketidaksuburan yang berkaitan dengan ketidakupayaan untuk ovulasi). Perencat aromatase digunakan untuk menghasilkan ovulasi. Sejak kira-kira 2001 ujian klinikal telah mencapai kesimpulan yang berbeza sama ada AI, letrozole, sekurang-kurangnya berkesan untuk merawat ketidaksuburan berbanding rawatan yang paling biasa digunakan, clomiphene citrate.

Ciri-ciri kajian: Ulasan ini melibatkan kajian-kajian kilinikal di mana peserta telah dibahagikan secara rawak kepada kumpulan intervensi (letrozole) atau kumpulan perbandingan (iaitu clomiphene citrate). Kajian ini dipanggil kajian rawak terkawal. Ulasan kami menyertakan 41 kajian rawak terkawal dengan 6522 wanita. Dalam semua kajian, perencat aromatase yang digunakan adalah letrozole. Pembanding termasuk clomiphene citrate, yang digunakan dalam 26 kajian rawak terkawal, dan penggerudian ovari laparoskopi (teknik pembedahan yang digunakan untuk mencetuskan ovulasi), yang digunakan dalam empat kajian rawak terkawal. Beberapa kajian memasukkan rawatan lain.

Keputusan utama: Letrozole nampaknya meningkatkan kadar kelahiran hidup dan kadar kehamilan berbanding dengan clomiphene citrate apabila digunakan untuk menyebabkan ovulasi, diikuti dengan persetubuhan berjadual. Nampaknya tiada perbezaan untuk kadar keguguran atau kadar kehamilan berganda. Sindrom ovari terlebih rangsangan, adalah kesan buruk rangsangan hormon yang serius, merupakan peristiwa yang sangat jarang berlaku dan tidak berlaku dalam kebanyakan kajian. Kepastian bukti untuk semua hasil ini adalah tinggi dan nampaknya boleh dipercayai.

Nampaknya terdapat bukti berkepastian sangat rendah untuk kadar kelahiran hidup yang lebih tinggi dengan letrozole berbanding dengan penggerudian ovari laparoskopi, walaupun terdapat hanya satu kajian yang berkaitan. Keputusan untuk kadar kehamilan klinikal adalah tidak pasti. Kami tidak pasti jika letrozole mengurangkan keguguran dan kadar kehamilan berganda berbanding dengan penggerudian ovari laparoskopi. Tiada kajian dilaporkan mengenai sindrom ovari terlebih rangsangan. Bukti adalah terkini hingga November 2021.

Kepastian bukti: Kepastian keseluruhan bukti adalah dari sangat rendah hingga tinggi. Kami menurunkan taraf bukti apabila kami mempunyai kajian kecil dengan beberapa wanita atau apabila kaedahnya tidak jelas.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Denise Chai (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cohcrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information