Soalan ulasan
Kami mengulas bukti berkenaan kesan terapi anti-IgE untuk merawat aspergilosis bronkopulmonari alergi pada orang dengan fibrosis sistik.
Latar belakang
Fibrosis sistik adalah penyakit genetik yang diwarisi yang tidak biasa berlaku di dunia barat. Aspergilosis bronkopulmonari alergi adalah penyakit paru-paru yang disebabkan oleh kepekaan melampau kepada aspergilus (kulat) dan mungkin berlaku dalam 2 hingga 15% orang dengan fibrosis sistik. Terapi kortikosteroid dan antikulat adalah rawatan utama untuk aspergilosis bronkopulmonari alergi, tetapi penggunaan kortikosteroid yang lama atau berulang boleh mengakibatkan kesan sampingan yang serius. Aspergilosis bronkopulmonari alergi berlaku akibat daripada antibodi IgE (sejenis protein). Ubat yang bertindak terhadap antibodi IgE ini (terapi anti-IgE), seperti omalizumab, boleh menjadi rawatan yang mungkin untuk aspergilosis bronkopulmonari alergi pada orang dengan fibrosis sistik. Ubat ini diberikan sebagai suntikan di bawah kulit setiap dua hingga empat minggu. Ulasan itu bertujuan untuk menunjukkan sama ada terapi anti-IgE untuk aspergillosis bronkopulmonary alergi pada orang dengan fibrosis sistik berkesan dan untuk menyerlahkan sebarang kesan sampingan yang mungkin.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga: 09 September 2021.
Ciri-ciri kajian
Kami hanya boleh memasukkan satu kajian kecil dalam ulasan ini (14 peserta) dan ini dihentikan awal kerana tidak cukup orang bersetuju untuk menyertai kajian sebagai sukarelawan. Kajian berlangsung selama enam bulan dan membandingkan suntikan omalizumab (Xolair®) di bawah kulit lengan atas atau paha dan suntikan plasebo (rawatan "dummy" yang tidak mengandungi ubat aktif). Sukarelawan diberi 600 mg omalizumab atau plasebo setiap hari bersama-sama dengan itraconazole (ubat antikulat) dua kali sehari dan kortikosteroid oral, dengan dos harian maksimum 400 mg.
Keputusan utama
Keputusan penuh kajian ini tidak diterbitkan. Hanya keputusan terhad pada kesan sampingan diterbitkan dalam talian. Enam daripada sembilan sukarelawan (66.67%) dalam kumpulan omalizumab dan satu daripada lima sukarelawan (20%) dalam kumpulan plasebo melaporkan satu atau lebih kesan sampingan yang serius.
Disebabkan oleh kekurangan bukti, kami tidak dapat membuat cadangan sama ada untuk menyokong, atau membangkang penggunaan, terapi anti-IgE (omalizumab) pada orang dengan fibrosis sistik dan aspergilosis bronkopulmonari alergi. Lebih banyak kajian terhadap rawatan ini diperlukan.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting olehTuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my..