Mesej utama
• Untuk penghidap penyakit buah pinggang autosomal dominan (penyakit keturunan yang menyebabkan pembentukan kantung berisi cecair dipanggil sista di buah pinggang), ubat tolvaptan dapat memelihara fungsi buah pinggang dan melambatkan peningkatan jumlah keseluruhan isipadu buah pinggang.
• Sasaran tekanan darah yang rendah dan penggunaan ubat analog somatostatin (yang bertujuan untuk menekan faktor pertumbuhan) mungkin dapat melambatkan jumlah keseluruhan isipadu buah pinggang tetapi mempunyai sedikit ataupun tiada kesan terhadap fungsi buah pinggang.
• Jumlah peserta kajian yang sedikit, kepelbagaian jenis rawatan yang diselidiki, dan hasil kajian yang dilaporkan penyukarkan pentafsiran hasil penyelidikan. Kajian-kajian berskala besar, bereka bentuk yang baik dengan hasil yang biasa dan tempoh rawatan susulan yang lebih lama adalah diperlukan.
Apakah itu penyakit buah pinggang polisistik autosomal dominan?
Penyakit buah pinggang polisistik autosomal dominan merupakan penyakit keturunan yang menyebabkan pembentukan kantung berisi cecair yang dipanggil sista di buah pinggang. Sista ini boleh membesar menjadi sangat besar. Gejala yang paling biasa termasuklah tekanan darah tinggi, sakit belakang atau sisi badan, pendarahan, dan bengkak abdomen. Kebanyakan orang dengan keadaan ini akan mengalami kegagalan buah pinggang (suatu keadaan di mana buah pinggang tidak dapat berfungsi dengan baik untuk kelangsungan hidup seseorang) pada satu ketika dalam hidup mereka. Rawatan termasuklah ubat untuk mengawal tekanan darah, ubat untuk melegakan sakit, dan penyingkiran sista.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui rawatan mana membantu melambatkan atau menghentikan pembentukan dan pembesaran sista buah pinggang, proses kegagalan buah pinggang,dan kesan sampingan ubatan ini.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menilai faedah dan bahaya rawatan yang diperuntukkan secara rawak untuk mencegah perkembangan penyakit buah pinggang polisistik autosomal dominan. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap maklumat yang ditemui berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 57 kajian yang merawakkan 8016 orang ke dalam 18 rawatan yang berbeza. Kajian tersebut dijalankan di seluruh dunia, dan kebanyakannya di Eropah dan Amerika Syarikat. Tempoh rawatan dan susulan adalah dalam dua hari hingga tujuh tahun. Jenis intervensi termasuklah penggunaan ubat yang mengubah cara buah pinggang untuk memekatkan air kencing, ubat yang menstabilkan isipadu sista dan mencegahnya daripada membesar, ubat yang menurunkan tekanan darah, ubat yang menurunkan lemak, minyak ikan, dan perubahan diet seperti jumlah air yang diminum seseorang.
Berbanding dengan plasebo (ubat palsu), tolvaptan (sejenis ubat yang dikenali sebagai antagonis reseptor vasopressin 2) mungkin mengekalkan fungsi buah pinggang dan melambatkan peningkatan jumlah isipadu buah pinggang; walau bagaimanapun, ia boleh meningkatkan mulut kering dan dahaga dan mungkin meningkatkan bangun pada waktu malam untuk membuang air kecil dan keletihan.
Ubat yang menurunkan tekanan darah ke bawah sasaran piawai serta analog somatostatin (ubat untuk menekan faktor pertumbuhan) boleh memperlahankan pertumbuhan buah ginjal; walau bagaimanapun, ia mungkin tidak menyebabkan sebarang perbezaan dalam fungsi buah pinggang. Analog somatostatin boleh meningkatkan keguguran rambut, cirit-birit, pening dan kelesuan, manakala penurunan tekanan darah mungkin tidak menyebabkan lebih banyak kesan sampingan. Kesannya terhadap kematian adalah tidak pasti. Rawatan lain yang diselidiki menunjukkan keputusan yang tidak jelas, dengan maklumat yang jarang serta tidak kukuh.
Apakah batasan bukti?
Bilangan kajian yang sedikit bagi setiap perbandingan dan saiz kajian yang kecil merupakan batasan dalam ulasan ini. Tidak semua kajian menyediakan data tentang hasil yang kami minati.
Kami cukup yakin bahawa tolvaptan memelihara fungsi buah pinggang dan melambatkan jumlah isipadu pertumbuhan buah pinggang. Kami juga cukup yakin bahawa penyasaran tekanan darah rendah dan analog somatostatin mengurangkan jumlah isipadu buah pinggang tetapi mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap pemeliharaan fungsi buah pinggang.
Kami sangat tidak pasti tentang pilihan rawatan yang lain.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).