Latar belakang
Kanser adalah punca kematian utama di seluruh dunia. Kaedah susulan tradisional melibatkan beberapa lawatan ke hospital untuk memeriksa, contohnya, sama ada kanser telah kembali (berulang). Ini boleh menyebabkan kebimbangan dalam kalangan pesakit dan keberkesanan kosnya diragui. Kumpulan doktor dan pesakit telah meminta diperrtimbangkan pendekatan model alternatif; memandangkan kebanyakan perulangan adalah bergejala, susulan pesakit selepas rawatan untuk kanser ginekologi boleh dilakukan dengan pengukuran hasil berkaitan pesakit (PROM) dan bukannya lawatan susulan rutin. PROM ialah istilah umum yang merangkumi pelbagai jenis pengukuran yang berpotensi, tetapi digunakan secara khusus untuk merujuk kepada laporan kendiri oleh pesakit tentang kesihatan dan kesejahteraan mereka. Penggunaan PROM sebagai alternatif kepada susulan mungkin mempunyai manfaat psikologi yang besar untuk pesakit dan faedah kos kepada sistem penjagaan kesihatan. Pada masa ini tiada bukti untuk menentukan sama ada PROM lebih baik atau lebih buruk dalam membantu wanita untuk hidup lebih lama dan lebih baik selepas kanser ginekologi berbanding lawatan susulan. Ia juga tidak jelas sama ada PROM bermanfaat dari segi kepuasan pesakit atau kualiti hidup.
Ciri-ciri Kajian
Pengulas melakukan penelitian maklumat yang luas untuk mengenal pasti kajian terkawal rawak yang membandingkan PROM dengan susulan rutin.
Penemuan utama
Tiada kajian yang sesuai untuk dimasukkan dalam ulasan yang ditemui. Ini menyerlahkan keperluan untuk kajian berkualiti yang membandingkan PROM dengan susulan standard. Bukti daripada kajian yang cukup berkuasa pada risiko rendah berat sebelah diperlukan.
Diterjemah oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my