Apakah tekanan darah tinggi?
Ini adalah kemas kini kedua ulasan yang diterbitkan buat kali pertama pada 2017. Hipertensi (tekanan darah tinggi) adalah satu keadaan jangka panjang yang meningkatkan risiko masalah kesihatan seperti serangan jantung, strok atau penyakit buah pinggang.
Bagaimana tekanan darah tinggi dirawat?
Terdapat beberapa jenis ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat hipertensi. Lama kelamaam seseorang dengan hipertensi akan memerlukan lebih daripada satu jenis ubat untuk membantu mengawal tekanan darah mereka. Apabila doktor mempreskripsi ubat-ubatan bagi mengurangkan tekanan darah untuk kali pertama, dia mempunyai dua pilihan, menggunakan hanya satu ubat (dikenali sebagai monoterapi) atau menggunakan dua ubat (dikenali sebagai terapi kombinasi). Terapi kombinasi boleh dalam bentuk satu tablet atau tablet yang berbeza.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada terdapat perbezaan antara merawat pesakit darah tinggi dengan satu ubat atau dengan dua ubat. Kelebihan potensi menggunakan terapi dua ubat adalah tekanan darah boleh dikurangkan lebih cepat, tetapi kita tidak tahu samada ini adalah lebih baik atau lebih teruk untuk mengelakkan kesan berbahaya pada pesakit.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan permulaan rawatan hipertensi pada orang dewasa dengan satu ubat berbanding kajian yang memulakan rawatan dengan dua ubat. Kajian terpaksa membincangkan keputusan seperti kematian atau kejadian lain yang disebabkan oleh penyakit jantung atau saluran darah, seperti serangan jantung, strok, atau kegagalan jantung. Kajian juga boleh membincangkan tentang jenis kesan sampingan lain yang berkaitan dengan kesihatan. Kami hanya memilih kajian dengan 50 atau lebih orang setiap kumpulan dan kajian mengambil masa sekurang-kurangnya 12 bulan.
Apakah yang telah kami temui?
Dalam kemas kini ini kami tidak menemui sebarang kajian baharu, dengan sejumlah empat kajian termasuk dalam semakan, dengan 419 dirawat dengan satu ubat dan 349 orang dirawat dengan lebih daripada satu ubat. Walau bagaimanapun, tiada maklumat yang mencukupi untuk menjawab soalan ulasan kami. Terdapat keperluan untuk kajian yang lebih dan lebih besar yang membandingkan penggunaan satu ubat berbanding menggunakan dua ubat sebagai rawatan pertama untuk tekanan darah tinggi.
Diterjemah oleh Tuan Hairulnizam Tuan Kamauzaman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my