Apakah tujuan ulasan ini?
Kami mengaji bukti tentang keberkesanan rawatan luka dengan penggunaan tekanan negatif (NPWT) dalam merawat uka kaki dalam orang yang menghidapi kencing manis. Penyelidik dari Cochrane telah mengumpul dan menganalisa semua kajian yang berkaitan (kajian terkawal rawak; kajian klinikal di mana orang dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan secara rawak) untuk menjawab soalan ini dan menemui 11 kajian yang berkaitan.
Mesej-mesej utama
Kami tidak pasti sama ada NPWT adalah berkesan untuk merawat luka kaki dalam orang yang menghidapi kencing manis. Terdapat beberapa bukti yang mempunyai ketentuan yang rendah bahawa NPWT meningkatkan jumlah luka yang sembuh berbanding dengan pembalutan, dan mungkin mengurangkan masa yang diperlukan untuk menyembuhkan luka. Kami tidak pasti mengenai keberkesanan NPWT pada tekanan yang berbeza dalam penyembuhan luka. Keseluruhannya, kepastian bukti yang diperolehi daripada kajian-kajian ini adalah terlalu rendah untuk menentukan manfaat dan kemudaratan NPWT dalam merawat luka kaki orang yang menghidapi kencing manis.
Apakah yang dikaji ulasan ini?
Diabetes mellitus atau kencing manis ialah suatu keadaan biasa yang membawa kepada tahap glukosa darah (gula darah) yang tinggi, dengan kira-kira 2.8 juta orang yang terjejas di UK (kira-kira 4.3% daripada jumlah penduduk). Sesetengah orang yang menghidapi kencing manis boleh mengalami ulser (luka) pada kaki mereka. Luka ini boleh mengambil masa yang lama untuk sembuh, serta menjadi sakit dan dijangkiti kuman. Ulser kaki dalam orang yang menghidapi diabetes juga boleh meningkatkan risiko amputasi bahagian kaki atau kaki. Umumnya, orang yang menghidapi kencing manis mempunyai risiko yang lebih tinggi bagi amputasi bahagian bawah badan jika berbanding dengan orang tanpa diabetes.
NPWT ialah rawatan yang sedang digunakan untuk merawat luka termasuk ulser kaki. NPWT melibatkan aplikasi pembalut luka yang disambungkan ke mesin sedutan vakum yang menyedut sebarang cecair luka dan tisu dari kawasan yang dirawati ke dalam kanister. Penggunaan NPWT semakin biasa di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, NPWT adalah mahal jika dibandingkan banding dengan rawatan luka yang lain seperti pembalutan.
Kami ingin tahu sama ada NPWT boleh membantu pesakit kencing manis untuk menyembuhkan luka kaki dengan lebih cepat dan berkesan. Kami ingin tahu sama ada orang yang dirawati dengan NPWT mengalami apa-apa kesan sampingan. Kami juga berminat dengan kesan NPWT pada kualiti kehidupan seseorang.
Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?
Pada bulan Januari 2018, kami mencari kajian terkawal rawak yang membandingkan NPWT dengan rawatan yang lain bagi ulser kaki atau luka terbuka yang lain pada kaki orang yang menghidapi kencing manis. Kami menemui 11 kajian yang melibatkan 972 orang dewasa. Bilangan peserta dalam setiap kajian adalah antara 15 hingga 341 dan masa susulan kajian (pemerhatian) adalah dari empat hingga 16 minggu, di mana yang ditentukan. TIdak semua kajian yang menyatakan punca pembiayaian kajian mereka. Dua kajian telah dibiayai oleh penghasil NPWT.
Terdapat bukti dengan kepastian rendah yang menunjukkan bahawa NPWT mungkin berkesan dalam penyembuhan luka kaki selepas pembedahan dan ulser kaki orang yang menghidapi kencing manis jika berbanding dengan pembalutan luka, dari segi jumlah luka yang sembuh dan masa penyembuhan luka tersebut. Dalam perbandingan pelbagai tekanan NPWT pada ulser kaki orang yang menghidap kencing manis, kami tidak dapat memastikan sama ada terdapatapa-apa perbezaan dalam jumlah luka yang ditutup ataupun dilindungi dengan pembedahan, dan kesan sampingan. Tidak ada bukti yang sedia ada mengenai masa sehingga pembedahan untuk menutup atau melindungi luka, kualiti kehidupan yang berkaitan dengan kesihatan dan keberkesanan kos.
Setakat manakah ulasan ini dikemaskinikan?
Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga Januari 2018.
Diterjemahkan oleh Zi Yan Chiah (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Tan May Loong (RCSI & UCD Malaysia Campus). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi (Chris_ZY@live.com)