Kesimpulannya
Berdasarkan bukti sedia ada, kami tidak tahu cara terbaik untuk mengurangkan opioid dalam kalangan orang dewasa dengan keadaan sakit kronik. Kami mendapati keputusan yang bercampur aduk daripada sebilangan kecil kajian yang dimasukkan dalam ulasan ini.
Latar belakang
Ini adalah ulasan yang dikemas kini. Ulasan pertama telah diterbitkan pada 2013. Kira-kira satu daripada lima orang dewasa mengalami sakit kronik yang sederhana atau teruk yang bukan disebabkan oleh kanser. Sesetengah orang dengan sakit jenis ini dirawat dengan opioid (biasanya dengan ubat-ubatan seperti morfin, codeine, oxycodone, fentanyl, atau buprenorphine, sama ada sebagai tablet atau tampalan yang diletak pada kulit). Bukanlah perkara biasa untuk ubat ini tidak berkesan atau terhenti berkesan dari masa ke masa, dan, kadangkala, kelegaan sakit yang berkesan tidak dapat dicapai walaupun dos meningkat. Berhenti menggunakan ubat opioid tidak mudah, terutamanya apabila ia telah diguna untuk beberapa waktu, kerana berhenti secara tiba-tiba boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak menyenangkan. Ulasan ini mencari kajian yang berkualiti tinggi (kajian rawak terkawal) rawatan-rawatan untuk membantu orang dewasa berhenti mengambil opioid yang dipreskrib dengan selamat untuk sakit mereka.
Ciri-ciri kajian
Kami mencari kajian-kajian sehingga Januari 2017. Kami mendapati lima kajian, yang menyiasat 278 orang. Kebanyakan orang yang dimasukkan dalam kajian adalah wanita, yang berusia sekitar 50 tahun, dan melaporkan percampuran keadaan sakit kronik (seperti sakit kepala, sakit belakang, sakit otot). Kajian termasuk akupunktur, kesedaran, dan terapi tingkah laku kognitif sebagai strategi untuk mengurangkan jumlah opioid yang diambil oleh orang dewasa dengan sakit kronik.
Keputusan utama
Tiada kesimpulan boleh dibuat dari jumlah maklumat yang kecil ini. Oleh itu, adalah tidak jelas sama ada rawatan ini mengurangkan amaun opioid dalam kalangan orang dewasa dengan sakit kronik (hasil primer) atau mengurangkan intensiti kesakitan, keupayaan fizikal atau mood (hasil sekunder). Tiga kajian memasukkan kesan negatif rawatan mereka, dan dua melaporkan peserta tidak mempunyai sebarang kejadian negatif yang berlaku ketika dalam kajian. Kajian tidak rawak, yang tidak dimasukkan dalam ulasan ini, menunjukkan bahawa bagi ramai orang pakej pemulihan intensif boleh membawa pengurangan besar penggunaan opioid. Mengurangkan penggunaan opioid yang dipreskrib dalam sakit kronik bukan kanser adalah topik penting yang memerlukan penyelidikan yang lebih sistematik.
Kualiti bukti
Kami tidak dapat menilai kualiti bukti yang terdapat dalam ulasan ini kerana kajian-kajian sangat berbeza dan tidak boleh digabungkan.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (International Medical University). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.