Penambahan hyaluronidase kepada blok mata anestetik setempat untuk mengurangkan sakit semasa pembedahan mata dalam kalangan dewasa.

Soalan ulasan

Kami mengulas bukti keberkesanan menambah hyaluronidase kepada larutan blok mata anestetik setempat (ubat kebas yang disuntik ke dalam mata untuk menyekat saraf) bagi mengurangkan sakit dan meningkatkan kepuasan peserta dan pembedahan semasa pembedahan mata dalam kalangan dewasa. Kami juga mencari laporan kesan sampingan dan kos.

Latar belakang

Hyaluronidase adalah enzim (protein yang mengawal tindak balas kimia dalam badan) yang membantu penyebaran anestetik setempat melalui tisu di sekeliling mata. Ia digunakan dengan meluas sebagai ubat tambahan kepada blok mata anestetik setempat untuk memberi permulaan anestesia lebih cepat dan mengurangkan atau menyekat pergerakan mata (dipanggil akinesia). Dengan teknik pembedahan mata moden, permulaan cepat dan akinesia tidak lagi menjadi keperluan penting, dan kerapkali pembedahan boleh dilakukan tanpa sakit dengan anestesia topikal (pada permukaan mata) sahaja. Hyaluronidase telah dikaitkan dengan kesan sampingan yang jarang berlaku. Oleh itu, penggunaan hyaluronidase perlu memberi alasan yang kukuh, yang menjadi tujuan ulasan ini.

Tarikh carian

Ulasan adalah terkini sehingga 30 Jun 2017.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan tujuh kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana orang secara rawak dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) dalam ulasan kami. Kajian-kajian melibatkan 500 orang dewasa yang menjalani pembedahan mata di bawah anestesia setempat. Kami melihat sebarang kesan tambahan penambahan hyaluronidase kepada anestetik setempat terhadap sakit yang dialami semasa pembedahan mata. Kami juga melihat skor kepuasan peserta dan pembedahan dan jika terdapat sebarang mudarat dilaporkan selepas menggunakan hyaluronidase dalam larutan suntikan. Tiada kajian-kajian yang melaporkan kos

Keputusan utama

Daripada tujuh kajian yang disertakan, kami mengumpulkan hasil daripada empat kajian (289 peserta) kerana hasilnya dilaporkan dengan cara yang sama. Mereka mendapati penambahan hyaluronidase tidak dapat mengurangkan sakit dengan ketara semasa pembedahan. Di antara tiga kajian yang berbaki (211 peserta) kekurangan laporan data dalam dua kajian menyukarkan penggabungan keputusan. Hasil keseluruhan semua kajian-kajian ini menunjukkan tiada pengurangan sakit yang ketara dengan menggunakan hyaluronidase dalam blok saraf mata.

Kami mendapati bukti berkualiti sederhana daripada dua kajian (122 peserta) untuk mencadangkan penambahan hyaluronidase meningkatkan skor kepuasan peserta. Tiga kajian melibatkan 141 peserta melihat kepuasan pembedahan, yang dilaporkan sebagai unggul dengan hyaluronidase dalam dua kajian yang lebih besar dan tidak banyak berbeza dalam satu kajian kecil (19 peserta). Tiada kajian yang disertakan melaporkan sebarang kesan berbahaya hyaluronidase.

Kualiti bukti

Kajian-kajian yang disertakan yang melaporkan sakit semasa pembedahan adalah berisiko bias rendah. Kualiti keseluruhan bukti adalah rendah kerana variasi dalam kesan pengurangan sakit. Kami menghubungi semua penulis kajian untuk meminta lebih banyak maklumat mengenai kajian, tetapi tiada data yang tersedia.

Kajian berkualiti sederhana melaporkan kepuasan peserta dan pembedahan yang lebih besar dengan hyaluronidase.

Analgesia sahaja tidak mengambil kira spektrum penuh kesan manfaat hyaluronidase. Keselesaan pesakit dengan pembedahan mata juga mungkin diperbaiki dengan permulaan yang cepat dan pergerakan mata yang berkurangan akibat hyaluronidase.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Serdang). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi wong.chunhoong@hotmail.com.

Tools
Information