Soalan ulasan
Adakah ECMO meningkatkan survival jangka panjang dalam kalangan dewasa yang kritikal?
Mesej utama
– ECMO berkesan mengurangkan kematian berbanding pengurusan konvensional, tetapi ia dikaitkan dengan peningkatan risiko perdarahan major.
– Hasil lain yang dilaporkan adalah kurang baik.
– Terdapat ketidakpastian dalam penemuan dan penyelidikan lanjut diperlukan.
Apakah pengoksigenan membran ekstrakorporeum?
Pengoksigenan membran ekstrakorporeum (ECMO) ialah satu bentuk sokongan hidup untuk pesakit yang paling sakit di unit rawatan intensif. Ia adalah mesin yang mengepam dan mengoksigenkan darah seseorang di luar badan, membolehkan jantung dan paru-paru berehat dan pulih. Terdapat pelbagai jenis ECMO yang berbeza dalam cara ia mengembalikan darah ke badan. ECMO Venoaterial (VA) diguna untuk kegagalan jantung (jantung) yang teruk, ECMO venovenous (VV) untuk kegagalan respiratori, dan resusitasi kardiopulmonari extracorporeal (ECPR) diguna semasa serangan jantung (di mana jantung berhenti berdegup). Walaupun berpotensi menyelamatkan nyawa, ECMO dikaitkan dengan risiko, termasuk perdarahan, kecederaan neurologi (kerosakan otak, tulang belakang atau saraf) dan kematian. Oleh itu, kami melakukan ulasan sistematik untuk menentukan sama ada ECMO memperbaik hasil jika dibanding dengan sokongan kardiopulmonari konvensional (contohnya, kompresi dada dan pernafasan mulut ke mulut).
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu rawatan yang mana antara rawatan-rawatan ini berkesan dan jika ia memberi sebarang kesan sampingan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian klinikal yang direka dengan baik yang membandingkan ECMO dengan sokongan (kawalan) kardiopulmonari konvensional dalam kalangan dewasa yang sakit kritikal.
Apakah yang kami temui?
Kami mendapati lima kajian yang terdiri daripada 757 peserta yang dirawak kepada ECMO atau kawalan. Dua kajian adalah VV ECMO (429 peserta), satu adalah VA ECMO (41 peserta), dan dua adalah ECPR (285 peserta). Hasil utama ialah kematian (pada hari ke-90 hingga satu tahun).
Keputusan utama
Secara keseluruhannya, ECMO berkesan mengurangkan kematian berbanding pengurusan konvensional. Walau bagaimanapun, ECMO dikaitkan dengan peningkatan risiko perdarahan major. Tiada perbezaan dalam hasil merentasi pelbagai jenis ECMO (VV, VA, atau ECPR) dan pelaporan kesan-kesan lain ECMO (seperti kecederaan neurologi atau kualiti hidup) adalah kurang baik.
Apakah batasan bukti?
Kualiti keseluruhan bukti adalah rendah hingga sederhana, terutama kerana perbezaan antara kajian-kajian (termasuk reka bentuk kajian, definisi dan kaedah mengukur hasil) dan perbezaan dalam populasi kajian serta bilangan peserta yang menerima intervensi. Ini menunjukkan ketidakpastian dalam penemuan dan penyelidikan lanjut diperlukan untuk mengukuhkan bukti ini.
Sejauh manakan bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Mac 2022.
Diterjemah oleh Muhammad Zaki Hilmi Bin Zainal Abidin (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu